Dr Mahathir imbas perjuangan membentuk Malaysia


Keutuhan hubungan antara Semenanjung Tanah Melayu dengan Sabah dan Sarawak bertambah kukuh dan terus disemai sejak 57 tahun pembentukan Malaysia, kata Dr Mahathir Mohamad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 September, 2020.

BEKAS perdana menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini mengingatkan rakyat mengenai sejarah pembentukan Malaysia, sempena sambutan ke-57 kewujudan negara ini.

“Banyak yang kita lalui bersama. Sudah jauh kita melangkah.

“Singapura telah keluar tetapi keutuhan hubungan antara Semenanjung Tanah Melayu dengan Sabah dan Sarawak bertambah kukuh dan terus disemai,” kata Dr Mahathir menerusi video “Selamat Hari Malaysia” yang dimuat naik di Facebook dan YouTube. 

Ahli Parlimen Langkawi itu seterusnya berkata sebagai sebuah negara yang rakyat majmuk, rasa tidak puas hati sudah semestinya tidak dapat dielakkan, namun satu titik pertemuan perlu dicari supaya hubungan tidak terlerai.

“Kerana itu kita menyokong permintaan supaya Perjanjian Malaysia 1963 ataupun yang kita kenali sebagai MA63, didukung sepenuhnya.

“Dan kita terima bahawa Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak adalah tiga wilayah yang bergabung sebagai rakan kongsi setara,” katanya.  

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini isu MA63 jadi perdebatan antara pemimpin Sabah dan Sarawak dengan kerajaan persekutuan, berkenaan hak yang diperuntukkan untuk dua negeri berkenaan dalam perjanjian itu.

Ketua menteri sementara Sabah Mohd Shafie Apdal pada Julai menggesa Putrajaya melaksanakan 21 perkara yang dikemukakan oleh negeri itu dan Sarawak pada Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Untuk Menyemak Pelaksanaan MA63.

Beliau ketika itu berkata 17 daripada 21 perkara itu sudah mendapat persetujuan bersama antara Putrajaya, Sabah dan Sarawak.

“Kerajaan Pakatan Harapan sudah luluskan 17 daripada 21 perkara. Yang tertinggal isu royalti minyak dan pembayaran tunai petroleum, mineral minyak dan medan minyak, Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750) dan hak negeri ke atas pelantar benua.

“Saya harap perkara ini dapat dijayakan. Kerajaan hari ini dapat teruskan kerana kita mahu membina negara. 

“Jangan berbalah pasal agama dan kaum kerana tidak membawa faedah,” katanya ketika pada sidang Dewan Rakyat, Julai lalu. 

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Wan Junaidi Tuanku Jaafar minggu lepas berkata kerajaan akan menubuhkan jawatankuasa baharu bagi meneliti MA63.

Dr Mahathir menerusi video hari ini berkata perjuangan pembentukan Malaysia mendapat tentangan hebat dari negara-negara jiran.

“Saya masih ingat, pemasyhuran Malaysia oleh (bekas) perdana menteri Tunku Abdul Rahman di Stadium Merdeka pada pagi 16 September 1963. Saya sudah berumur 38 tahun ketika itu.

“Perasaan saya ketika itu bercampur-campur. Bangga, kerana Persekutuan Tanah Melayu akan bersama Borneo Utara, yang kemudian dikenali sebagai Sabah dan Sarawak. Dan Singapura akan bergabung untuk membentuk negara besar Malaysia.

“Saya juga berdebar-debar kerana pembentukan itu mendapat tentangan yang agak hebat dari beberapa negara jiran,” imbas beliau.

Dr Mahathir berkata beliau yakin segala isu dapat diatasi jika semangat dan persetujuan yang dimeterai dahulu dapat dihayati dan dilaksanakan.

“Apabila ini dicapai, sudah pasti kita boleh maju ke depan dengan langkah yang lebih gigih dan jitu.” – 16 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen