Sarawak kecam cadangan PAS haramkan arak


Desmond Davidson

Sarawak mengecam cadangan PAS untuk mengharamkan arak, menyifatkannya sebagai tidak menghormati hak orang bukan Islam dan cuba menggunakan isu lain untuk melindungi niat sebenar mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Mei, 2020.

DESAKAN PAS supaya arak diharamkan adalah bukti parti itu tidak menghormati agama lain, kata Timbalan Ketua Menteri Sarawak James Masing.

Beliau mengulas cadangan Ketua Penerangan PAS Kamaruzaman Mohamad semalam, menyifatkannya sebagai “nampak baik sekali pandang” tetapi meragui “keikhlasan” cadangan dibuat parti Islam itu.

“Saya hargai kebimbangan mereka tentang keselamatan rakyat.

“Bagaimanapun, selepas membaca lebih lanjut tentang cadangan PAS untuk menggantung jualan, lesen minuman beralkohol di semua kedai di semua negeri, saya meragui keikhlasan kebimbangan mereka,” katanya.

Semalam, Kamaruzaman mendesak Putrajaya serta merta menggantung semua pengeluaran, perniagaan dan penjualan minuman beralkohol sementara menunggu langkah mencegah isu pemandu mabuk.

Masing berkata pendirian PAS adalah pencabulan hak orang berlainan agama dan “hak mereka berdagang barangan yang tidak dilarang ajaran dan kepercayaan agama mereka.”

“PAS tidak boleh mengenakan larangan agama ke atas arak kepada mereka yang berlainan agama yang tidak melarang arak.

“PAS juga tidak patut melindungi niat mereka menggunakan alasan lain.”

Tambahnya lagi, Malaysia adalah negara berbilang agama dan “kita perlu kekalkannya begitu”.

Adun Muara Tuang Idris Buang pula berkata PAS cuba melakukan sesuatu “ yang agak melampau dan drastik”.

Katanya, walaupun PAS membangkitkan masalah tentang pemandu mabuk, mereka juga perlu menghormati hak orang bukan Islam untuk minum arak terutama ketika musim perayaan seperti Hari Gawai yang akan berlangsung beberapa hari lagi.

“Kita perlu terima. PAS perlu terima.

“Kita adalah negara pelbagai kaum (di mana) minum arak (dibenarkan) dan sebahagian daripada budaya kita.” – 27 Mei, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen