Tarik balik penangguhan lantikan naib canselor UiTM, kata tiga badan kakitangan 


Isu pelantikan perlu diselesaikan segera dan UiTM dapat meneruskan peranannya sebagai institusi penting Bumiputera tanpa pengaruh politik kepartian. – Gambar Facebook, 11 Ogos, 2021.

TIGA badan kakitangan Universiti Teknologi Mara (UiTM) mahu Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menarik balik penangguhan pelantikan Prof Dr Roziah Mohd Janor sebagai naib canselor universiti itu yang baru.

Mereka berpandangan penangguhan pelantikan itu, yang dibuat hanya dua hari sebelum Roziah melapor diri, mencetuskan persepsi negatif dalam masyarakat.

“Kami percaya pemilihan Prof Dr Roziah Mohd Janor telah melalui proses saringan dan temuduga serta telah mematuhi kriteria yang telah ditetapkan jawatankuasa pemilihan,” kata mereka dalam satu kenyataan.

Tiga badan itu ialah Kesatuan Kakitangan Akademik UiTM (MITASA), Persatuan Kakitangan Akademik UiTM (UTiMAS) dan Kesatuan Kakitangan Umum UiTM (KKUUiTM).

Roziah dilantik oleh bekas menteri pengajian tinggi Noraini Ahmad pada 2 Ogos dan sepatutnya berkuat kuasa bermula Isnin (9 Ogos). 

Ketua Pengarah Pengajian Tinggi Dr Husaini Omar bagaimanapun pada Ahad mengesahkan surat penangguhan pelantikan bertarikh 7 Ogos yang tersebar di media sosial.

Beliau sehingga ini belum menjelaskan penangguhan tersebut.

Penangguhan itu dibuat selepas Noraini letak jawatan menteri pada 6 Ogos kerana mematuhi pendirian Umno menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. 

Menurut tiga badan kakitangan UiTM, mereka sudah memaklumkan pandangan kepada Muhyiddin dan mahu perdana menteri membantu menyelesaikannya agar tidak berpanjangan.

“Kami menaruh kepercayaan terhadap kebijaksanaan YAB Perdana Menteri untuk meneliti perkara ini seterusnya menyampaikan nasihat yang bersesuaian supaya tindakan segera dapat diambil,” kata mereka.

Mereka berharap isu pelantikan ini diselesaikan segera dan UiTM dapat meneruskan peranannya sebagai institusi penting Bumiputera tanpa pengaruh politik kepartian.

Pelantikan Roziah sepatutnya mengisi kekosongan jawatan di UiTM sejak naib canselor sebelum ini Prof Emeritus Dr Mohd Azraai Kassim tamat tempoh perkhidmatan pada 10 Mac 2021. – 11 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen