Tukang urut buta, pemuzik jalanan rayu lebih banyak bantuan kerajaan


Noel Achariam

Bekas atlet paralimpik kebangsaan Lee Sheng Chow berkata dia terpaksa menutup pusat urut tradisionalnya yang sudah beroperasi selama 37 tahun jika PKP terus berterusan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 9 Ogos, 2021.

BEKAS atlet paralimpik kebangsaan Lee Sheng Chow bimbang pusat urut tradisionalnya akan ditutup sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berterusan menghalang perniagaannya untuk beroperasi.

Lelaki berusia 67 tahun itu memberitahu The Malaysian Insight bahawa sekiranya masih belum ada penyelesaian menjelang akhir tahun, maka dia perlu menutup pusat yang sudah memberikan rawatan urut selama 37 tahun.

Terletak di sepanjang Jalan Thambipillay di Brickfields, Kuala Lumpur, pusat ini merupakan salah satu kedai perintis yang menyediakan perkhidmatan urutan tradisional.

Lee memberitahu The Malaysian Insight bahawa dia berharap akan ada bantuan daripada kerajaan bagi membantu komuniti buta.

“Saya mahu kerajaan melihat dan membantu golongan kurang upaya.

“Kami sedang berjuang ketika ini. Perniagaan saya mungkin perlu ditutup kerana kami tidak dapat menanggung kerugian seperti ini,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Perniagaan Lee terjejas beberapa kali selepas pelaksanaan pelbagai PKP sejak bermulanya wabak berkenaan.

Dengan penutupan baru-baru ini, Lee yang mempunyai kira-kira 40 tukang urut tetap dan sambilan berkata bahawa mereka kini mempunyai sifar pendapatan.

Pada Jun, Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata bahawa pusat urut hanya dapat beroperasi di bawah Fasa Empat Pelan Pemulihan Nasional.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) George Thomas berkata, terdapat 51,000 orang buta di seluruh negara dan memerlukan bantuan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 9 Ogos, 2021.

Lee berkata, kakitangannya berusaha untuk memenuhi keperluan kerana satu-satunya sumber pendapatan mereka adalah menyediakan perkhidmatan urut.

“Untuk makanan tidak ada masalah kerana kami menyediakan makanan setiap hari dari pelbagai dapur jalanan.

“Tetapi wang sangat sukar. Kami tidak tahu berapa lama wabak ini akan berlanjutan. Kakitangan saya perlu menjaga keluarga mereka, membayar sewa dan bil-bil lain.

“Selain bantuan RM500, kerajaan perlu melakukan lebih banyak perkara.

“Jika kerajaan tidak dapat menolong minoriti kecil ini, siapa lagi?,” katanya.

Masalah dihadapi Lee turut dikongsi bersama sekurang-kurangnya 70 pengusaha pusat urut buta lain dan juga pemuzik jalanan.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) George Thomas berkata, terdapat 51,000 orang buta di seluruh negara dan memerlukan bantuan.

Kebimbangan terbesar persatuan adalah mereka yang tidak mampu membayar sewa.

“Ini terutama bagi mereka yang memperoleh gaji harian. Kami dapat menolong mereka dengan bakul makanan dan makanan yang dibungkus, tetapi itu tidak mencukupi.

“Kami merayu kepada kerajaan dan mereka memberikan RM500 selama tiga bulan di bawah pakej Prihatin hanya untuk mereka yang tidak menerima pendapatan bergaji. Ini tidak mencukupi. Kami merayu kepada kerajaan untuk beri lebih banyak bantuan.

“Sejak PKP pertama (Mac tahun lepas) sehingga sekarang, sudah lebih 250 hari mereka tidak dapat beroperasi kerana prosedur operasi standard (SOP).

“Mereka juga berdepan kesusahan kerana sewa beberapa operator berbeza dari RM2,000 hingga RM7,000 sebulan,” katanya. – 10 Ogos, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen