KSN, KPN, PAT bermesyuarat di PMO


Ketua polis negara, panglima angkatan tentera, ketua setiausaha negara dan ketua Cawangan Khas Bukit Aman dilihat ke Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya pagi ini susulan ahli Parlimen Umno tarik sokongan terhadap PM malam tadi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Ogos, 2021.

KEKECOHAN dari kediaman Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur malam tadi kini beralih ke Putrajaya dan Istana Negara pagi ini, diikuti pula dengan dakwaan Umno ia mempunyai jumlah mencukupi untuk meruntuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Kenderaan membawa Ketua Polis Negara (KPN) Acryl Sani Abdullah Sani dilihat masuk ke bangunan Perdana Putra di Putrajaya, lokasi Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada 9.25 pagi.

Menurut Bernama, Ketua Cawangan Khas Bukit Aman Zamri Yahya juga berada di PMO.

Kira-kira 10 pagi, Panglima Angkatan Tentera (PAT) Affendi Buang dan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Mohd Zuki Ali pula tiba di PMO.

The Star melaporkan Peguam Negara Idrus Harun menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Muhyiddin juga dijangka menghadap Agong pada 11 pagi dan akan mempengerusikan mesyuarat mingguan Kabinet tengah hari nanti.

Umno semalam berkata ia mempunyai jumlah mencukupi ahli Parlimen yang menarik sokongan kepada Muhyiddin dan kerajaan PN. Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata ahli Parlimen berkenaan menandatangani akuan berkanun yang akan dipersembahkan kepada Agong.

Beliau tidak menyatakan jumlah sebenar ahli Parlimen yang berkenaan, tetapi berdasarkan kepada mereka yang hadir bersama pada sidang akhbar Zahid semalam, sekurang-sekurangnya 11 wakil rakyat terbabit.

Seorang lagi wakil rakyat Umno, Ahli Parlimen Lenggong Shamsul Anuar Nasarah meletak jawatan sebagai menteri tenaga dan sumber asli.

Umno mempunyai 38 ahli Parlimen, dengan 16 daripada (selepas peletakan jawatan Shamsul Anuar) berada dalam Kabinet Muhyiddin.

Terdapat 220 ahli Parlimen di Dewan Rakyat dan Muhyiddin dikatakan mempunyai majoriti 115, tetapi ia belum diputuskan menerusi undi percaya. – 4 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen