Sidang PAC akan diteruskan walau diarah tangguh, kata pengerusi


Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Wong Kah Woh berkata setiausaha Parlimen mencadangkan agar mesyuarat dihentikan atas nasihat Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Ogos 2021.

JAWATANKUASA Kira-kira Wang Negara (PAC) akan bersidang esok walaupun ada cadangan untuk menangguhkan mesyuarat itu selama dua minggu, kata Wong Kah Woh.

Pengerusi PAC berkata beliau sudah menerima surat dari setiausaha Parlimen sekitar jam 3.30 petang hari ini yang mencadangkan agar pertemuan itu dihentikan atas nasihat Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

“Ketua Pengarah Kesihatan menulis surat kepada setiausaha dewan rakyat, hari ini (Ahad) juga. Beliau mencadangkan supaya semua mesyuarat jawatankuasa khas ditangguhkan selama dua minggu berikutan kes positif yang dikesan di Parlimen.

“Tanggapan pertama saya kepada setiausaha dewan - Ini MEREPEK! Tanggapan kedua saya di sini - Ini MEREPEK!” katanya dalam satu kenyataan, yang disiarkannya di laman Facebooknya.

Wong berkata beliau sudah mengarahkan setiausaha Parlimen untuk memberitahu ketua pengarah kesihatan bahawa prosidingnya akan berjalan seperti yang dijadualkan.

“Apabila Parlimen tidak bersidang, hanya akan ada kurang daripada 30 orang di bilik Jawatankuasa PAC. Saya percaya KP Kesihatan mengetahui dan memahami perkara ini dengan baik dan dengan cara apa beliau akan melaksanakan tugasnya kepada negara,” katanya dalam catatan itu.

Wong berkata, pertemuan esok akan menyaksikan PAC akan mengumpulkan maklum balas mengenai isu pemerolehan Vaksin dari Menteri Kesihatan Adham Baba dan ketua pengarah Kesihatan.

Katanya, mesyuarat itu merupakan pertemuan ketiga yang dipengerusikannya sejak dilantik pengerusi PAC baharu.

Semalam, Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin berkata, sidang Dewan Rakyat pada Isnin (esok) akan ditangguhkan berikutan penilaian risiko oleh kementerian kesihatan yang mengesan 11 kes positif Covid-19 setelah 1,183 sampel diambil.

Nizam berkata Muhyiddin mengarahkan agar mesyuarat esok ditangguhkan sesuai dengan Perkara 11(3) Peraturan Menyuarat.

“Penangguhan ini sejajar dengan saranan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berdasarkan beberapa kes yang dikesan di Parlimen minggu lalu,” katanya.

Notis itu berikutan teguran umum Agong kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) kerana gagal membentangkan Ordinan Darurat di Parlimen untuk dibahaskan. – 1 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen