Derhaka terhadap raja dari perspektif Perlembagaan Persekutuan


ISTILAH “derhaka” mahupun “penderhakaan” tidak tertulis secara nyata dalam Perlembagaan Persekutuan. Namun, itu tidak bermakna istilah tersebut tiada dalam konteks Perlembagaan Persekutuan.

Kaedah pentafsiran Perlembagaan Persekutuan mengikut prinsip takrifan struktur asas yang digariskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira Gandhi (2018) hendaklah mengambil kira sejarah perundangan dan konteks sejarah watan sesebuah negeri, atau negara.

“Derhaka” atau “penderhakaan” merupakan satu konsep dalam adat Melayu, yang bukan sahaja menggariskan tatacara dalam perhubungan antara Raja Melayu dengan rakyat, bahkan hubungan sosial tradisional secara keseluruhannya.

Adat Melayu ialah salah satu sumber perundangan yang masih sah kerana ia adalah sebahagian maksud undang-undang di bawah Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 160(2) memperuntukkan bahawa “Undang-undang” termasuklah undang-undang bertulis, common law setakat yang berkuat kuasa di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, dan apa-apa adat atau kelaziman yang mempunyai kuat kuasa undang-undang di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya;

Adat Melayu

Dari sudut epistemologi, adat Melayu secara umumnya merangkumi penilaian masyarakat watan Tanah Melayu kepada hukum alam, tatacara kehidupan bermasyarakat, peraturan-peraturan etika secara universal dan warisan amalan yang masih dianggap sesuai dalam kehidupan orang Melayu seharian.

Dari bingkai lebih besar, adat Melayu ditakrif sebagai adab budaya dan undang-undang pada hari ini selain daripada hukum hakam seperti diwahyukan dalam al-Qur’an dan al-Sunnah; merangkumi sistem, peraturan, ethos, dan nilai yang tidak bercanggah dengan prinsip ajaran Islam seperti diwarisi daripada amalan masyarakat dan Kerajaan Melayu pada masa silam.

Adat Melayu sejak dari zaman Kerajaan Melayu Purba termaktub dalam undang-undang bertulis mengikut kaedah penulisan dan medium ketika itu. Hukum Kanun Melaka dan hukum-hukum kanun di Negeri-negeri Melayu, selepasnya, seperti Hukum Kanun Pahang, Undang-undang Johor, Hukum Kanun Perak, Undang-undang Kedah dan Itqanul Muluk merupakan antara undang-undang bertulis yang bukan sahaja terhimpun undang-undang perlembagaan bahkan pelbagai undang-undang yang sedang berkuat kuasa ketika itu.

Hukum orang derhaka terhadap Raja antaranya termaktub dalam Hukum Kanun Pahang (versi Muzium Negeri Pahang; Yaakub Isa, 2003: 126). Dalam fasal hukum orang derhaka terhadap Raja dinyatakan seperti berikut:

“Fasal pada menyatakan hukum orang yang menderhaka kepada Raja. Hukumnya disamakan dengan tiga ratus enam puluh bagai seksa sebilang urat. Maka hartanya dirampasi, anak isterinya menjadi hamba orang. Maka orang itu akan diberi azab selama-lamanya dengan seratus empat puluh delapan azab bilang tulang manusia. Jika ia sudah mati, dibelah empat: maka buangkan pada empat daksana. Demikian lagi barang siapa syarikat dengan dia. 

“Adapun barang siapa mendengar khabarnya, maka tiada dipersembahkannya, hukumnya dikerat lidahnya dan dipasak kedua telinganya dan dicungkil kedua matanya; dibuangkan pada tempat yang khali. Maka hendaklah kamu sekelian, jikalau mendengar sesuatu khabar yang memberi mudarat akan Raja kamu, segera kamu persembahkan kepada sekalian orang besar yang karib kepada Raja. Jikalau khabar itu tidak bertentu sekali pun tidak akan mudarat atas diri kamu. Wal-Lahu a’lam”.

Dalam peruntukan di atas, “derhaka terhadap Raja” itu dinyatakan sebagai “sesuatu khabar yang memberi mudarat kepada Raja”. Hukuman juga dikenakan kepada orang didapati bersubahat atau tidak melaporkan kesalahan derhaka tersebut.

Perlu dinyatakan bahawa hukuman dan kesalahan di sisi adat Melayu berevolusi sehingga kepada pematuhan syariah apabila Raja Melayu menganut agama Islam.

Adat Melayu dalam undang-undang sekarang

Keabsahan adat Melayu dari kaca mata undang-undang boleh dirujuk kepada Perkara 162 yang memperuntukkan seperti berikut:

“Tertakluk pada peruntukan yang berikut dalam Perkara ini dan Perkara 163, undang-undang yang sedia ada hendaklah, sehingga dimansuhkan oleh pihak berkuasa yang mempunyai kuasa untuk berbuat demikian di bawah Perlembagaan ini, terus berkuat kuasa pada dan selepas Hari Merdeka, dengan apa-apa ubah suaian sebagaimana yang dibuat dalamnya di bawah Perkara ini dan tertakluk pada apa-apa pindaan yang dibuat oleh undang-undang Persekutuan atau undang-undang Negeri”.

Perundangan adat Melayu adalah termaktub di bawah Butiran I Senarai II Jadual Kesembilan, iaitu di bawah Dewan Undangan Negeri. Justeru adat Melayu adalah terpelihara dan boleh digubal dalam bentuk bertulis. Butiran 9 Senarai II Jadual Kesembilan mengekalkan bidang kuasa Dewan Undangan Negeri untuk mewujudkan kesalahan yang berhubungan dengan adat Melayu.

Selanjutnya perlu ditegaskan juga kedudukan istimewa adat Melayu di sisi Perlembagaan Persekutuan.  Perkara 150(6A) menghalang peluasan kuasa perundangan Parlimen mengenai apa-apa perkara hukum Syarak atau adat Melayu walaupun dalam tempoh darurat. Kedudukan itu dinikmati juga oleh undang-undang atau adat anak negeri di Sabah dan Sarawak.

Pemakaian prinsip dan rujukan adat Melayu dalam sistem keadilan di negara kita dipelihara oleh seksyen 3 Akta Undang-undang Sivil 1956 (Semakan 1972). Seksyen 3 memperuntukkan: 

(1) Save so far as other provision has been made or may hereafter be made by any written law in force in Malaya, the Court shall:

(a) in Malaya or any part thereof, apply the common law of England and the rules of equity as administered in England on the 7th day of April, 1956;

(b) ....

(c) ...

Provided always that the said common law, rules of equity and statutes of general application shall be applied so far only as the circumstances of the States of Malaya and their respective inhabitants permit and subject to such qualifications as local circumstances render necessary.

Itulah kedudukan perundangan adat Melayu di dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan yang antara lain memelihara konsep “derhaka” dalam sistem perundangan tempatan yang diwarisi daripada watan tanah air kita.

Buat masa ini undang-undang Persekutuan ada memperuntukkan kesalahan “treason” di bawah Kanun Acara Jenayah.

Pada hakikatnya, kedudukan adat Melayu dalam Perkara 150(6A) memberikan jaminan kepada kelangsungan Institusi Beraja sehingga tidak boleh disentuh melalui ordinan dan undang-undang di bawah Fasal (2B) dan (5) dalam Perkara 150.

Raja Melayu merupakan hierarki tertinggi dalam sistem politik tradisional yang berlatarkan adat Melayu. Sistem tersebut dilestarikan dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan pada hari ini.

Selagi adat Melayu dipelihara dan dihormati maka selagi itu sistem perlembagaan negara akan mendokong kedaulatan Raja Melayu dan keluhuran Perlembagaan yang menjadi tadbir urus utama kepada sistem demokrasi berparlimen. – 1 Ogos, 2021.

 

* Profesor Madya Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain, Pengarah Institut Tamadun dan Kajian Strategik, Universiti Malaysia Pahang (UMP).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen