Agong tak boleh dipaksa ikut nasihat kabinet, kata pakar


Raevathi Supramaniam

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebaliknya dukacita kerana kerajaan Muhyiddin Yassin membatalkan ordinan berkenaan tanpa mengikut proses yang ditetapkan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Julai, 2021.

YANG di-Pertuan Agong tidak perlu ikut nasihat perdana menteri dan kabinet mengenai pembatalan ordinan darurat, kata peguam Perlembagaan.

Mereka menyatakan apabila Jemaah Kabinet memohon pengisytiharan darurat, mereka pergi menghadap Yang di-Pertuan Agong, oleh sebab itu dalam membatalkan ordinan Darurat, kuasa tertakluk kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkannya atau tidak.

“Pejabat Perdana Menteri (PMO) silap dan mereka sendiri tahu Yang di-Pertuan Agong tidak terikat dengan keputusan mereka,” kata peguam Haniff Khatri Abdullah.

“Pada 23 Oktober, kerajaan menghadap minta supaya Darurat diumumkan tetapi Yang di-Pertuan Agong tolak. Baginda tidak mengikut nasihat perdana menteri dan kabinetnya ketika itu.

“Jika PMO yakin Yang di-Pertuan Agong tidak boleh zahirkan pengisytiharan waktu itu, kenapa ketika itu mereka tidak umum darurat (tanpa perkenan Yang di-Pertuan Agong), seperti yang mereka buat bila batalkan ordinan darurat.

“Ini 10 bulan lepas. Kerajaan sama, perdana menteri sama dan kabinet sama yang menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk isytiharkan darurat, tetapi ditolak.

“Mereka tak jadikan isu pun ketika itu, jadi macam mana mereka boleh betul kali ini?”

Haniff berkata demikian mengulas isu semasa antara Istana Negara dan kerajaan mengenai pembatalan ordinan darurat tanpa perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Pada Isnin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan mengumumkan ordinan darurat telah dibatalkan oleh kerajaan pada 21 Julai. Beliau juga berkata keputusan itu dibuat sesuai dengan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Pengumumannya itu membingungkan ahli Parlimen, dengan ramai mempersoalkan adakah keputusan itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong. Takiyuddin sebaliknya berdalih dengan berkata beliau akan mengulas lanjut dalam sidang Parlimen pada Isnin, 2 Ogos ini.

Bagaimanapun, semalam Istana Negara menegaskan belum memberi perkenan untuk membatalkan semua Ordinan Darurat yang dimasyhurkan sejak 11 Januari lalu.

Yang di-Pertuan Agong sebaliknya dukacita kerana kerajaan Muhyiddin membatalkan ordinan berkenaan tanpa mengikut proses yang ditetapkan, kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Ahmad Fadil Shamsuddin.

Kenyataan Istana Negara turut mengimbas kembali majlis mengadap dalam talian bersama Takiyuddin dan Peguam Negara Idrus Harun di mana Al-Sultan Abdullah memberi perkenan dan menitahkan supaya perkara itu dibentang dan dibahas di Parlimen.

Susulan kenyataan Istana Negara itu, Pejabat Perdana Menteri (PMO) membuat kenyataan balas dengan berkata kerajaan bertindak mengikut undang-undang dalam membatalkan ordinan darurat pada 21 Julai.

Tambah PMO, Yang di-Pertuan Agong sedia maklum bahawa Baginda Tuanku perlu menerima dan bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri seperti yang terkandung dalam Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan.

Pengerusi jawatankuasa perundangan Perlembagaan Majlis Peguam Andrew Khoo bersetuju dengan Haniff bahawa kerajaan telah menetapkan tindakannya dengan menerima perkenan Yang di-Pertuan Agong pada Oktober untuk tidak mengisytiharkan darurat.

“Kita perlu lihat ketika perdana menteri meminta perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk umum darurat pada Oktober 2020 dan Januari 2021, beliau secara peribadi pergi menghadap Yang di-Pertuan Agong.

“Tetapi bila nak batal, melihat kenyataan PMO, perdana menteri hanya utus surat kepada Yang di-Pertuan Agong. Nampaknya tidak ada rundingan sebelum itu dan tentunya tidak ada perkenan.

“Walaupun Perlembagaan dengan jelas menyatakan Yang di-Pertuan Agong bertindak atas nasihat kabinet, kabinet itu sendiri telah tetapkan duluan sedangkan pada Oktober 2020, malah selepas menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk umum darurat, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan untuk tidak umum, dan kabinet ketika itu terima,” kata Khoo kepada The Malaysian Insight.

Haniff berkata, Yang di-Pertuan Agong tidak boleh dipaksa secara automatik untuk ikut keputusan eksekutif. – 31 Julai, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen