Kenyataan balas Pejabat Perdana Menteri angkuh dan biadap, kata Pakatan


Aminah Farid

Majlis Presiden Pakatan Harapan hari ini menyifatkan kenyataan balas Pejabat Perdana Menteri kepada Agong semalam adalah angkuh dan biadap dalam mempertahankan pembatalan ordinan darurat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Julai, 2021.  

KENYATAAN balas Pejabat Perdana Menteri (PMO) kepada Yang di-Pertuan Agong semalam adalah angkuh dan biadap dalam mempertahankan pembatalan ordinan darurat, kata Majlis Presiden Pakatan Harapan hari ini.

Kerajaan tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan serta demokasi berparlimen, sebaliknya mempertahankan tindakan mereka membatalkan ordinan walaupun tanpa persetujuan Yang di-Pertuan Agong dan tanpa berbahas di Parlimen, kata majlis itu dalam satu kenyataan yang ditandatangani oleh Presiden PKR Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu.

“Kenyataan balas Pejabat Perdana Menteri semalam adalah angkuh dan biadab terhadap Ketua Utama Negara, menderhakai Perlembagaan Persekutuan dan sistem demokrasi berparlimen.

“Amat penting dinyatakan bahawa Pemerintah yang telah hilang jalinan hubungan baik dan tidak lagi taat setia kepada Seri Paduka Baginda tidak mungkin bertahan,” kata mereka.

PMO dalam satu kenyataan petang semalam mempertahankan keputusan pembatalan ordinan darurat yang berkuatkuasa pada 21 Julai.

Mereka menekankan bahawa kerajaan bertindak mengikut undang-undang kerana semua ordinan darurat sudahpun dibentang di atas meja Dewan Rakyat pada 26 Julai. 

Sidang Parlimen pula hanya melibatkan Mesyuarat Khas berkenaan penerangan menteri dan tiada sebarang usul untuk mengungkai ordinan darurat.

“Kerajaan berpandangan semua tindakan yang diambil ini teratur dan selaras dengan peruntukan undang-undang dan perlembagaan persekutuan,” kenyataan itu dipetik.

Selanjutnya, kenyataan itu menyebut keputusan pada awalnya dibuat oleh Kabinet pada 21 Julai untuk tidak melanjutkan perintah darurat apabila ia tamat pada 1 Ogos.

“Ordinan ini memperuntukkan semua ordinan darurat yang dimasyhurkan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dibatalkan berkuatkuasa pada 21 Julai 2021.”

Deraf pembatalan ordinan itu diterima pada 22 Julai dan seterusnya pada 23 Julai, perdana menteri mengutuskan warkah pada 23 Julai bagi memaklumkan baginda, menurut kenyataan itu.

Pengumuman ordinan itu dibatalkan oleh kerajaan mulai 21 Julai dibuat di Dewan Rakyat sehari sebelumnya, pada Isnin oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen) Takiyuddin Hassan.

Kenyataan PMO semalam dibuat selepas Istana Negara mengeluarkan kenyataan menzahirkan kemurkaan Agong kerana ordinan itu diumumkan terbatal tanpa mengikut proses yang ditetapkan.

Majlis PH hari ini juga mengecam Peguam Negara Idrus Harun kerana gagal menjalankan tugasnya untuk memberikan nasihat undang-undang kepada Agong secara neutral dan bebas.

Mereka juga mengkritik Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun kerana mempertahankan hak kerajaan Perikatan Nasional untuk tidak membenarkan perbahasan ke atas setiap Ordinan Darurat untuk dibatalkan.

“Tiada tindakan lain yang mesti dilakukan oleh Muhyiddin Yassin, seluruh Jemaah Menteri, Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Peguam Negara selain dari meletakkan jawatan secara terhormat.

“Kalau inilah yang diperlakukan Muhyiddin dan kerajaan Perikatan Nasional terhadap Yang di-Pertuan Agong, apalagi terhadap Rakyat,” soal mereka. – 29 Julai, 2021.  



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen