Apa jadi pada undang-undang darurat lepas Agong murka?


The Malaysian Insight

YANG di-Pertuan Agong membongkar temberang kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan mendedahkan baginda tidak memberi perkenan untuk membatalkan apa-apa undang-undang darurat sebelum perintah itu berakhir.

Lalu, apa jadi pada undang-undang ini sekarang?

Adakah undang-undang ini akan dibentangkan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara hari ini sebelum kedua-duanya bersidang minggu depan?

Adakah speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun membenarkan jam persidangan dihentikan untuk membenarkan kedua-dua undang-undang ini dibentangkan?

Pada waktu ini, beliau tetap menamatkan persidangan pada jam 5.30 sewaktu kes jangkitan Covid-19 makin menular di bangunan Parlimen.

Dan apa pula akan jadi sekiranya undang-undang ini tidak dibentangkan sebelum darurat berakhir kerana baginda jelas sekali menitahkan agar undang-undang itu dibahaskan dalam persidangan khas yang dipanggil oleh kerajaan ini.

Seluruh proses ini tegelincir dari landasan sejak Isnin lagi apabila kerajaan tetap meneruskan penerangan kepada ahli Parlimen mengenai Pelan Pemulihan Negara dan tidak memembentangkan atau membahaskan undang-undang darurat.

Semua ahli dewan tahu helah itu pada Isnin apabila kerajaan memutuskan ia tidak akan memohon satu lagi perintah darurat walaupun dengan peningkatan jangkitan dan kematian akibat Covid-19.

Menteri undang-undang Takiyuddin Hassan pada Isnin lalu mengesahkan, kerajaan bersetuju untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk melanjutkan proklamasi darurat apabila ia berakhir pada 1 Ogos.

“Kerajaan telah membuat keputusan berdasarkan kepada Perkara 150 (3) untuk membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dibuat semasa Proklamasi Darurat ini,” katanya lagi.

Takiyuddin juga mengumumkan semua ordinan darurat yang dimasyhurkan sejak darurat berkuat kuasa telah dibatalkan pada 21 Julai.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan sama ada Yang di-Pertuan Agong sudahpun memberi perkenaan ke atas keputusan kerajaan membatalkan proklamasi berkenaan.

Azhar pula menghalang asakan ahli Parlimen dengan menutup semua mikrofon wakil rakyat itu dan meneruskan agenda Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk memberi taklimat.

Sehingga kini, tiada siapa pun melihat undang-undang yang dititahkan oleh baginda untuk dibahaskan. Begitu juga dengan warta kerajaan untuk mengesahkan undang-undang itu terbatal.

Darurat yang berlangsung sejak 11 Januari dan berakhir pada 1 Ogos, dikuatkuasa melalui

Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu (Pindaan) 2021 yang diwarta pada 14 Januari.

Beberapa undang-undang kontroversi dalam ordinan itu termasuk memberi kuasa tanpa batas untuk kerajaan membelanjakan wang negara tanpa mendapat kelulusan Parlimen.

Peruntukan itu juga membenarkan individu dikompaun sehingga RM10,000 bagi kesalahan melanggar kawalan pergerakan dan denda sehingga RM500,000 bagi menyebar “berita palsu”. – 29 Julai, 2021.  
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen