Mengapa kita harus menyokong Hartal Doktor Kontrak?


PENARIKAN balik perkhidmatan atau apa yang disebut “mogok” adalah hak asasi pekerja. Ini adalah hak sejagat yang termaktub dalam undang-undang Malaysia, Konvensyen ILO dan Piagam Hak Asasi Manusia PBB.

Tindakan Hartal yang diambil tidak akan mengganggu perawatan pesakit, sebaliknya merupakan ekspresi kekecewaan dan penderitaan mereka yang telah bertungkus-lumus untuk menjaga orang ramai.

Di kebanyakan negara di mana penubuhan kesatuan diakui dan berfungsi sepenuhnya, kesatuan sekerja sewajibnya menjadi wakil yang sah untuk berunding bagi pihak kepentingan pekerja. Meskipun kini doktor kontrak tidak mempunyai perwakilan kesatuan, hak mereka untuk mengatur tindakan industri harus dihormati.

Ketidakadilan terhadap sebahagian anggota sektor perubatan juga merupakan eksploitasi dalam sistem kesihatan, dan mengakibatkan kesan negatif terhadap kesejahteraan pesakit dan kualiti perkhidmatan kesihatan secara keseluruhan.

Kempen ini bukan hanya utamakan peningkatan gaji dan kondisi kerja doktor kontrak. Perjuangannya adalah untuk mempertahankan sistem perkhidmatan kesihatan kita! Keadilan kepada doktor kontrak adalah keadilan bagi kesihatan rakyat Malaysia.

Sokongan kepada doktor kontrak adalah salah satu cara untuk mengucapkan penghargaan atas jasa dan pengorbanan petugas-petugas penting di barisan hadapan memerangi pandemik.

Marilah kita bersolidariti bersama #HartalDoktorKontrak

Berjuang untuk masa depan yang lebih baik! – 25 Julai, 2021.

*Tian Chua adalah naib presiden PKR dan bekas ahli Parlimen Batu.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen