Bersuara melawan budaya ketakutan 


SELAMA hampir 20 tahun, kami, ahli Pertubuhan Perfileman Sosial (FFN), telah memaparkan kisah kemiskinan, ketidaksamaan sosial dan ketidakadilan di Malaysia menerusi filem.

Kisah mengenai mereka yang tidak mendapat keadilan sosial penting untuk diketengahkan kerana rakyat hidup di dalam susana ketakutan – takut terhadap pihak yang melakukan intimidasi dan gangguan agar kisah tersebut didiamkan.   

Suasana ini mengakibatkan rakyat takut untuk menyuarakan pendapat mereka tentang masalah perkauman, kemiskinan dan ketidaksamaan.

Rakyat disalah-didik supaya melihat isu tersebut sebagai isu yang tidak berkait dengan mereka atau bukan masalah mereka. 

Filem FFN menunjukkan sebaliknya – derita dan pengalaman yang dipaparkan adalah penting bagi kami sebagai Bangsa Malaysia.

Terdapat isu kepentingan awam di sebalik kisah tersebut yang menunjukkan realiti sebenar orang yang hidup di bawah dan di pinggiran masyarakat. Kisah ini sering kali tidak mendapat perhatian yang cukup daripada pihak media.

Tetapi usaha FFN ini tidak disenangi oleh sesetengah daripada mereka yang berkuasa. 

Pada awal Julai, Pengarah Eksekutif FFN Anna Har bersama lima aktivis hak asasi manusia yang lain dipanggil untuk siasatan polis. Yang lima itu ialah Amin Landak, Sevan Doraisamy, Mohamad Alshatri, Kua Kia Soong dan Sharon Wah. 

Siasatan ini berkaitan filem animasi pendek “Chili Powder and Thinner” (Serbuk cili dan Pencair Cat) yang memaparkan pengalaman benar seorang anak muda yang diseksa dan dipukul semasa di dalam tahanan polis.

Filem ini dikeluarkan ketika muncul berita bahawa empat individu telah mati di dalam tahanan di dalam jangka masa dua bulan tahun ini. 

Daripada menyiasat dakwaan dan mesej di dalam filem tersebut, polis sebaliknya menyiasat penyampai mesej iaitu aktivis yang mahu polis bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku. 

Sebelum ini, wartawan, ahli politik, seniman dan aktivis lain yang bersuara tentang isu kematian di dalam tahanan juga disoal siasat polis.

Walaupun disiasat, kami tidak akan didiamkan. Kami berpegang pada prinsip bahawa ketidakadilan mesti diperbetulkan dan mereka yang tidak mempunyai suara harus diangkat. 

Beberapa hari selepas siasatan, kami dan pertubuhan lain - Centre for Independent Journalism, Amnesty International Malaysia and Suara Rakyat Malaysia - telah mulakan kempen bagi mengumpul suara masyarakat bagi menghentikan siasatan dan intimidasi.

Kempen tersebut menyeru kepada satu tindakan solidariti dalam talian pada Julai 10. Ia juga bagi mendesak supaya Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) dibentuk dengan serta-merta. 

Pada hari solidariti itu, 16 pesta filem termasuk daripada Argentina, Jerman, Nepal anda Filipina telah menayang dengan serentak “Chili Powder dan Thinner” bagi menyokong desakan kami. 

Di dalam tempoh beberapa hari, jumlah tontonan bagi filem tersebut naik tiga kali ganda dan pungutan petisyen bagi pembentukan IPCMC telah mendapat 38,894 tandatangan. 

Seramai 133 pertubuhan masyarakat sivil di Malaysia dan luar Negara telah menandatangan kenyataan solidariti bersama kami agar siasatan polis dihentikan dan IPCMC dibentuk. 

Sokongan kuat dan luas ini adalah bukti bahawa walaupun di selubung budaya takut, rakyat perlu bersuara menentang ketidakadilan.

Kita semua perlu bersuara bagi mereka yang tidak mempunyai suara agar pembaharuan dan perubahan dapat dilakukan. 

Walaupun risiko intimidasi tetap ada, kita semua perlu berpegang pada matlamat akhir iaitu menegakkan keadilan, kebenaran, hak asasi manusia dan maruah. 

Kami semua Bangsa Malaysia. Ayuh berdiri bersama kami dan laungkan suara anda. – 24 Julai, 2021.

*Brenda Danker ialah pengasas-bersama Pertubuhan Perfileman Sosial (FFN) dan Sheridan Mahavera pula menguruskan program reformasi sistem penapisan filem di FFN. 

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen