Impian Hadi jadikan PAS 'kingmaker' disokong akar umbi


Zulkifli Sulong Melati A. Jalil

KEYAKINAN Presiden PAS Abdul Hadi Awang untuk memenangi 40 kerusi bukanlah angan-angan, kata pemimpin akar umbinya.

Menurut mereka, keyakinan itu berdasarkan beberapa faktor dan paling utama adalah kemampuan pemimpin PAS mendekati ahli Umno melalui masjid dan surau yang suatu masa dahulu menjadi larangan kepada parti Islam itu.

Ini susulan melalui hubungan mesra antara pemimpin PAS dan Umno, parti tulang belakang Barisan Nasional (BN).

Melalui strategi ini, pemimpin dan penceramah PAS berpeluang memasuki masjid dan surau yang suatu masa dahulu hanya didominasi pemimpin agama yang mesra dengan kerajaan BN.

Senario ini dapat dilihat di Terengganu dan negeri lain yang dikuasai oleh BN, termasuk Pahang, di mana Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man memimpin cawangan parti.

Sebagai contoh strategi dan hubungan yang semakin mesra dengan Umno, pemimpin PAS yang sebelum ini dihalang menjejakkan kaki di dalam sebuah masjid di kampung Beladau Selat, di daerah Marang. Permusuhan sebelum ini telah sampai ke tahap di mana penyokong PAS memboikot masjid itu.

Namun, sejak beberapa bulan lalu Adun Alor Limbat daripada PAS, Ariffin Deraman sudah beberapa kali memberikan khutbah Jumaat di masjid itu.

Selain Terengganu, pemimpin PAS Pahang juga dapat memasuki beberapa masjid yang dikuasai oleh Umno.

“Kami di Pahang juga merasai perkara yang sama apabila kami mula dapat masuk memberikan kuliah di masjid yang selama ini dikawal oleh Umno,” kata Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu majlis.

Hadi sebelum ini berkata, PAS menyasarkan untuk memenangi sekurang-kurangnya 40 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Beliau membayangkan parti Islam itu sebagai “kingmaker” jika BN dan Pakatan Harapan (PH) tidak berjaya memperoleh majoriti mutlak pada PRU14.

Beliau berkata jika parti itu memenangi 40 kerusi, PAS boleh membuat tuntutan. Terdapat 222 kerusi Parlimen.

Ia berdasarkan pengiraannya pada 182 kerusi yang dibahagikan secara sama rata antara BN dan PH, tetapi tidak mungkin kedua-dua pihak akan memperoleh majoriti 112 kerusi mudah untuk membentuk kerajaan.

“Jika PAS boleh mendapatkan 40 kerusi Parlimen, parti lain tidak akan dapat membentuk kerajaan tanpa bergantung kepada 40 kerusi kami, dan ini bermakna kami akan diperlukan untuk membentuk kerajaan persekutuan,” katanya kepada lidah parti Harakah Daily semasa satu majlis baru-baru ini.

Pada pilihan raya lalu, parti Islam itu memenangi 21 kerusi Parlimen apabila ia menjadi sebahagian daripada Pakatan Rakyat yang kini sudah berkubur.

Sejak itu, PAS meninggalkan pakatan dan kini secara aktif mempromosikan pakatannya sendiri, Gagasan Sejathera, dan bergerak sendiri pada PRU14.

Ia sedang mengenal pasti calon-calonnya bagi 132 kerusi.

Bagaimanapun, seorang veteran PAS berkata ramalan Hadi diambil kira ketika ia bersama Pakatan Rakyat.

“Memang kita meletakkan angka 40 kerusi untuk menang dalam PRU14 nanti tetapi ia melalui kerjasama kita dengan PKR dan Bersatu dalam pertandingan satu lawan satu dengan BN.

“Tetapi bukan perlawanan tiga penjuru,” kata seorang veteran PAS kepada The Malaysian Insight.

Menurut sejarahnya, PAS akan berjaya menang dengan jumlah kerusi besar apabila bekerjasama dengan parti besar lain. (Lihat grafik)

Usaha pemimpin veteran ini agar PAS bekerjasama dengan PKR dan Bersatu ditolak oleh pemimpin ulama PAS termasuk Hadi sendiri.

Ketua Pemuda PAS Kelantan, Fadli Shaari berkata PAS optimis untuk menang tetapi bergantung kepada penerimaan rakyat.

“Kita melihat rakyat sekarang sudah tidak yakin kepada Umno dan BN dengan segala skandal dan isu yang berlaku, ekonomi yang semakin meruncing, pekerja kehilangan kerja menunjukkan rakyat semakin tidak meyakini pentadbiran Umno dan BN,” katanya.

Bagi beliau, alternatif kepada BN bukan PH selepas gabungan itu memilih Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri.

“Mereka perlu cari alternatif, manakala untuk pergi kepada PH, dilihat Dr Mahathir hanya jadikan PH sebagai batu loncatan semata-mata untuk mengambil alih kuasa.

“Sedangkan apa yang beliau janjikan jika PH mentadbir negara itulah yang sebenarnya beliau tidak lakukan sewaktu menjadi perdana menteri selama 22 tahun,” kata naib ketua Pemuda PAS Pusat itu.

Beliau yakin rakyat tidak akan memberikan kepercayaan kepada PH atas faktor Dr Mahathir dan alternatifnya adalah PAS.

Pandangan beliau disokong oleh Yang Dipertua PAS Kawasan Padang Terap, Kedah, Azam Abd Aziz.

“Kita ada sokongan daripada golongan muda, daripada pelbagai golongan cuma yang nampak celaru sebab ada yang mengatakan PAS tidak lagi mendapat sokongan, sedangkan hakikatnya rakyat masih lagi memberi sokongan kepada kita,” katanya. 

Katanya, pertambahan ahli baru yang menyertai PAS berlaku dengan rancak sekali.

“Kalau kita tengok laporan daripada PAS Pusat, ia menjangka 40,000 lebih menyertai PAS di seluruh negara sejak kebelakangan ini. 

“Untuk 2017, sebulan purata dalam 4,000 lebih. Perkembagan yang baik ini menunjukkan rakyat tetap sokong PAS,” katanya. 

Namun, seorang pemimpin akar umbi PAS tidak yakin sepenuhnya PAS akan memperoleh kemenangan di 40 kerusi itu.

“Pada saya, kenyataan presiden adalah suatu psikologi untuk kita berusaha memenangi sebanyak mungkin kerusi Parlimen.

“Presiden berusaha meyakinkan ahli-ahli PAS dan pengundi bahawa sasaran yang ditetapkan itu realistik dan mampu dicapai,” katanya.

Bagi beliau, soal ia mampu atau tidak dicapai bukan isu kerana ia terletak kepada kesungguhan jentera menjayakannya dan pengundi yang akan memberi undi kepada PAS dalam PRU14. – 17 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Bukan kah masjid itu terbuka kepada sesiapa pun.. Apakah maksud PAS mengatakan pemimpin PAS Pahang juga dapat memasuki beberapa masjid yang dikuasai oleh Umno. Adakah PAS cuba 'berkempen' melalui khuthbah di masjid.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Nizam Hasbullah · Ulasan

  • Inilah, dengan Ulama tapi take belajar matematik. Lojik dah salah. PAS dianngap tiling UMNO, mana.mungkin undi UMNO pergi PAS?? Tidaklojik pun.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Bigjoe Lam · Ulasan