Dr Mahathir cabar PAS dedah calon perdana menteri 


Gan Pei Ling

Presiden PAS Abdul Hadi Awng dicabar untuk dedahkan siapa calon perdana menteri PAS.– Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Januari, 2018.

PENGERUSI Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad hari ini mencabar PAS untuk mengumumkan calon perdana menteri mereka.

“Kita nak tau PAS ni nak bertanding siapa calon perdana menteri dia.

“Calon dia (Pengerusi Barisan Nasional) Najib (Razak) ke atau saya ke? Yang itu kita nak tahu.

“Calon dia saya ingat dia boleh menang jika orang suka calon dia,” kata Dr Mahathir pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PH di Petaling Jaya, hari ini.

Pemberita bertanyakan pandangan beliau berhubung dakwaan ahli majlis tertinggi Bersatu Kadir Jasin bahawa wujud satu pakatan rahsia antara Umno dan PAS di Kelantan untuk membenarkan parti Islam itu kekal di Kelantan. Naib presiden PAS Idris Ahmad semalam menafikan dakwaan itu.

Dr Mahathir bagaimanapun tidak menjawab soalan itu sebaliknya mencabar PAS untuk mendedahkan siapa yang akan disokong mereka sebagai perdana menteri. 

Pengerusi Bersatu itu juga enggan mengulas berhubung bagaimana rancangan PH untuk menyelesaikan isu PKR Selangor, yang secara terbuka menyatakan mereka tidak bersetuju dengan keputusan pakatan itu yang memilih Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri sekiranya pakatan pembangkang memenangi pilihan raya umum akan datang. 

Dr Mahathir berkata, ketidaksepakatan itu boleh diselesaikan dengan rundingan namun beliau enggan mengulas lanjut. 

“Kita bukan nak tolak siapa-siapa. Itu ada orang yang tak setuju, kita runding tengok kenapa tak setuju, siapa calon ganti.

“Ini semua perkara dalaman, tak payah lah media tahu,” katanya.

Pada 7 Januari, PH mengumumkan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri dan presiden PH Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga presiden PKR sebagai timbalannya. 

Ia juga dikatakan akan memohon penrgampunan diraja untuk ketua de facto Anwar Ibrahim untuk menggantikan Dr Mahathir. – 16 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen