Korban Covid-19 bukan angka semata-mata


Noor Azam Shairi

Korban akibat Covid hanya 555 pada hari pertama darurat. Semalam, jumlah kematian itu naik 12 kali ganda kepada 7,148 orang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 20 Julai, 2021.

KETIKA umat Islam minggu ini merayakan Aidiladha, ada yang menyambut hari kebesaran ini dengan mengenang ahli keluarga yang meninggal dunia akibat Covid-19. 

Selepas lebih setahun kerajaan Perikatan Nasional menguruskan pandemik – yang pada tanggapan umum, tidak sepenuhnya dengan data dan sains – sudah lebih 7,000 orang di seluruh negara meninggal dunia akibat Covid-19.

Purata lebih kurang 35 orang mati akibat Covid-19 sehari, sejak Malaysia diletakkan bawah perintah darurat – untuk menangani wabak. Pada hari darurat bermula 11 Januari 2021, ada 555 orang sudah meninggal dunia. Sehingga semalam, jumlahnya meningkat kepada 7,148 orang. 

Lebih setahun lalu, mereka yang meninggal dunia akibat Covid-19 dirujuk dengan nombor kes jangkitan, dan selepas itu angka bilangan kematian. Sekarang, setiap seorang daripada mereka tidak lagi kita dengar disebut dengan apa-apa rujukan melainkan kesemuanya dimaklumkan kepada kita sebagai kelompok ikut negeri.

Namun, mereka ini bukan angka semata-mata. 

Mereka ini bukan hanya jalur graf warna-warni yang tersebar selepas Kementerian Kesihatan mengumumkan laporan hariannya setiap hari.

Mereka ini manusia; ada latar sejarah dan bayangan masa depan, ada harapan dan impian yang tidak terpenuhi, dan ada hal-hal yang tidak sempat diselesaikan. Lebih penting lagi, mereka ini ada waris ahli keluarga yang ditinggalkan tanpa peluk cium.

Ada isteri kehilangan suami. Ada suami kehilangan isteri. Ada anak yang kini membesar tanpa ayah dan ibu. Baru saja kelmarin, dua kanak-kanak berumur tiga dan enam tahun di Sungai Petani kematian ibu yang sarat mengandung tujuh bulan.

Ada juga yang yatim piatu, seperti lima beradik di Negeri Sembilan yang kematian kedua ibu bapa selang seminggu genap 44 hari lalu. Mereka kini tinggal bersama nenek, lapor media. Namun, ada juga yang tidak bernasib baik, jadi gelandangan selepas kehilangan ibu bapa akibat Covid-19.

Mereka ini patah tempat bergantung, putus kasih sayang dan hilang punca nafkah.

Keluarga dari Kedah ini datang ke Kuala Lumpur untuk mengubah nasib, namun dek kerana penangan Covid-19, mereka kini tidak lagi dapat membayar sewa bilik. Kini empat beranak ini tidur di sekitar pusat bandar Kuala Lumpur dengan harapan mudah mendapatkan makanan untuk terus hidup. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 20 Julai, 2021.

Sistem sokongan

Ketika berita kematian ahli keluarga mereka tersebar, banyak pihak meluru datang menyampaikan simpati. Wakil parti politik juga banyak menderu. Beri itu, ini. Janji begitu, begini.

Selepas hari berganti minggu bertukar bulan, siapa lagi yang terus menjenguk bertanya khabar? Apakah sistem sokongan yang ada untuk mereka? Memang betul, sepatutnya ada sistem sokongan keluarga dan masyarakat tetapi bagaimana setahun dari sekarang? Atau, lima tahun? Setidak-tidaknya sehingga mereka habis sekolah dan menyambung pengajian tinggi.

Waris korban Covid-19 ini tidak harus dikembalikan kepada ahli keluarga atau masyarakat masing-masing. Mereka ini harus dilihat sebagai cabaran negara.

Soalnya, apakah kita juga tahu jumlah sebenar anak-anak yang yatim piatu atau sekurang-kurangnya yatim kerana pandemik ini?

Mari kita lihat apa yang dilakukan di India, antara negara terjejas teruk krisis Covid-19. Antara April 2020 hingga awal Jun 2021, India mendapati ada lebih 3,600 kanak-kanaknya yatim piatu sementara lebih 26,000 kematian salah seorang orang tua mereka, kebanyakannya akibat Covid-19. 

Suruhanjaya Perlindungan Hak Kanak-Kanak, sebuah badan berkanun di bawah Kementerian Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak, merujuk mereka ini sebagai  “kanak-kanak yang memerlukan perhatian dan perlindungan”. 

Lalu apakah yang dilakukan oleh India? 

Menyelamatkan masa depan anak-anak yatim dan piatu Covid-19 ini mustahak kerana data membayangkan Malaysia juga kehilangan rakyatnya yang masih sihat, yang tidak diketahui ada penyakit lain, akibat Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Julai, 2021.

“Anak negara”

Pentadbiran Narendra Modi menjadikan mereka sebagai “anak negara”, yang ditanggung pendidikan dan kesihatannya melalui insurans atas nama mereka, daripada wang rakyat. Melalui insurans itu, anak negara ini akan diberi elaun bulanan apabila mencecah umur 18 tahun dan seterusnya dibayar sekali gus sebaik mereka berumur 23 tahun. 

Menyelamatkan masa depan anak-anak yatim dan piatu Covid-19 ini mustahak kerana data membayangkan Malaysia juga kehilangan rakyatnya yang masih sihat, yang tidak diketahui ada penyakit lain, akibat Covid-19.

Media melaporkan 14 daripada 100 korban Covid-19 tahun ini setakat 19 Jun lalu tidak mempunyai masalah kesihatan. Daripada jumlah itu, lebih lapan daripada 10 adalah warganegara Malaysia. 

Hampir 4 daripada 100 kematian itu juga melibatkan kes meninggal dunia di luar hospital. Mereka rata-rata dalam lingkungan umur yang muda, iaitu seorang dalam setiap orang masing-masing daripada kumpulan umur antara 25 dan 44 tahun, serta 45 dan 54 tahun.

Maksudnya apa? Mereka ini umumnya bekerja dan berkeluarga. Dalam erti kata lain, ada tanggungan. 

Nah, lalu siapa yang membantu mereka di tengah pandemik yang tidak juga menunjukkan tanda-tanda akan reda? Jika kerajaan yang membantu mereka, bagaimana? Apakah bantuan itu memadai?

Minggu ini, Malaysia dijangka akan menulis rekod baharu – 1 juta orang dijangkiti Covid-19. Angka korban pandemik mungkin akan meningkat dan lebih banyak yang akan menanggung akibatnya. 

Mohon dijauhkan Tuhan, itu tidak berlaku.

Yang kita harapkan berlaku ialah dalam kalangan kita timbul satu cara berfikir yang lain, yang lebih manusiawi dan beradab, untuk melihat mereka lebih daripada sekadar angka.

Mereka ini manusia – sebangsa, setanah air: Malaysia. – 20 Julai, 2021.

* Azam seorang wartawan dengan The Malaysian Insight. Anda boleh mengikutinya di Twitter . E-mel: [email protected]


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen