AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Mohd Puad Zarkashi mahu parti itu tegas terhadap menteri Umno yang tidak ikut keputusan parti menarik sokongan terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Bekas ahli Parlimen Batu Pahat itu berkata sebarang pelanggaran disiplin dalam Umno akan ada musibahnya.
Puad berkata sembilan ahli Parlimen Umno dalam Kabinet beri pelbagai alasan untuk buat keputusan bertentangan dengan parti yang tidak sokong Muhyiddin.
“Terbaharu MKT putus tarik sokongan kepada Perdana Menteri. Tetapi kluster Menteri pula buat keputusan songsang. Mereka sokong Perdana Menteri.
“Rakyat dijadikan alasan. Pandemik dijadikan alasan. Perpecahan Melayu dijadikan alasan. Dan peruntukan kawasan juga jadi alasan.
“Justeru Umno tidak boleh apologetik. Konon takut perpecahan. Disiplin tetap disiplin. Langgar disiplin ada musibahnya. Tiada kompromi dalam bab tata tertib,” kata Puad dalam satu hantaran di Facebook.
Beliau berkata demikian selepas munculnya desas desus Umno kini terbahagi kepada dua, penyokong presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan penyokong Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Katanya, mereka yang sokong Perikatan Nasional (PN) hanyalah broker kuasa dan mahu kekal pegang jawatan.
“Tinggal tiga, tigalah. Ahli tidak lari. Di sebelah sana nanti akan sampai giliran mereka, habis madu sepah dibuang,” katanya.
Baru-baru ini 50 ahli MKT bersetuju tarik diri daripada menyokong perdana menteri tetapi enam MKT memutuskan untuk sokong Muhyiddin.
Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman salah seorang ahli MKT yang tidak bersetuju dengan presiden untuk menarik diri daripada menyokong perdana menteri.
Dalam audio yang bocor dan tular Tajuddin dikatakan berkata bukan masa yang tepat untuk tinggalkan PN.
Puad berkata, Umno mesti tegas dan tidak terlalu bimbang dengan jumlah yang mahu tarik sokongan.
“Umno Sabah contoh terbaik. 21 Ketua Bahagian lari lintang pukang tinggalkan parti. Hanya tiga yang istiqomah. Iaitu Bung Mokhtar, Ramie Unggi dan Yaakub Khan.” – 18 Julai, 2021.
Komen