Kegagalan urus niaga Bandar Malaysia tidak beri kesan besar, kata pakar ekonomi


Bernard Saw Khoo Gek San

ICSB dijadualkan membeli 60% saham dalam Bandar Malaysia Sdn Bhd yang dimiliki sepenuhnya oleh TRX City Sdn Bhd, anak syarikat 100% milik Menteri Kewangan (Diperbadankan). – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Julai, 2021.

KEGAGALAN urus niaga Bandar Malaysia bernilai RM7.41 bilion bukan satu perkembangan yang buruk memandangkan kepada situasi terkini pandemik Covid-19, kata pakar ekonomi.

Kerajaan akan memerlukan dana untuk melawan pandemik dan pemulihan ekonomi, kata Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Sosioekonomi (SERC) Lee Heng Guie.

“Ia bukan sesuatu yang buruk pelan Bandar Malaysia gagal pada masa ini dan ia tidak akan menjejaskan sentiment pelaburan dengan teruk,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Apa yang ketara ialah fokus pada masa ini ialah pandemik, jadi pembatalan projek besar tidak akan beri impak kepada negara bagi tempoh jangka pendek,” katanya merujuk kepada projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.

Pembangunan mega Bandar Malaysia dilihat sebagai kontingen kepada projek HSR, kerana ia dijadualkan menjadi hab pengangkutan utama yang akan menjadi terminal HSR. Ia juga akan menyediakan penghubung ke kawasan lain di Kuala Lumpur menerusi jajaran 2 dan 3 MRT, Komuter KTM dan ECRL.

Pembinaan HSR itu dibatalkan oleh Singapura dan Malaysia awal tahun ini.

Lee berkata projek infrastruktur yang lain masih dijalankan, seperti Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan projek Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Baru-Singapura.

Oleh itu, kerajaan perlu merancang pembangunan pasca pandemik dan jenis infrastruktur yang akan relevan dalam era baharu di mana virus itu dijangka menjadi endemik.

Sebagai contoh, permintaan untuk bangunan komersial dan pusat beli-belah akan berubah dan pelan pemulihan perlu diformulasi, kata Lee.

Ini kerana orang ramai mulai biasa dengan beli-belah secara atas talian dan bekerja dari rumah. Sebahagian syarikat juga merancang untuk mengurangkan ruang pejabat, menyebabkan permintaan merosot bagi bangunan komersial pada masa depan, katanya.

Bagaimanapun, projek seperti Bandar Malaysia memfokuskan kepada pembangunan urban bandar pintar dan hab pengangkutan.

Namun, dengan pandemik ini mengganggu pembangunan hartanah negara, kerajaan akan perlu mengekalkan pertumbuhan ekonomi pada 4%, kata Lee.

Ahli Parlimen Subang Wong Chen, jurucakap PKR untuk industri perdagangan antarabangsa, berkata pembatalan projek Bandar Malaysia adalah kesan langsung daripada pembatalan projek HSR, dan ada kemungkinan bakal melembabkan pasaran hartanah.

“Jika pelan HSR ditangguhkan kepada tiga hingga lima tahun, konsortium ICSB tidak ada sebab untuk membatalkan urusniaga itu sekarang,” katanya merujuk kepada IWH-CREC Sdn Bhd, iaitu kerjasama antara Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH) dan China Railway Engineering Corporation (M) Sdn Bhd (CREC).

ICSB dijadualkan membeli 60% saham dalam Bandar Malaysia Sdn Bhd (BMSB), yang dimiliki sepenuhnya oleh TRX City Sdn Bhd, anak syarikat 100% milik Menteri Kewangan (Diperbadankan). – 18 Julai, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen