Thailand perketat langkah bendung Covid-19


Thailand akan mencampurkan dua vaksin berbeza, iaitu AstraZeneca dan Sinovac sebagai usaha untuk memerangi varian Delta. – Gambar EPA, 17 Julai, 2021.

SELEPAS mengenakan langkah pencegahan lebih ketat di Bangkok dan sembilan wilayah sejak Isnin (12 Julai), Thailand kini mempertimbangkan untuk mengetatkan lagi sekatan dalam usaha untuk mengekang peningkatan kes Covid-19 susulan rekod tertinggi yang dicatatkan pada Jumaat.

Dalam tempoh 24 jam, Thailand mencecah 9,692 kes dan 67 kematian, menjadikan jumlah terkumpul sebanyak 381,907 dan korban seramai 3,099 sejak pandemik dikesan di negara itu Januari tahun lalu.

Sehingga kini, terdapat 106,951 pesakit masih dirawat di hospital dan hospital lapangan termasuk 3,367 dalam keadaan kritikal dan 847 memerlukan bantuan alat pernafasan. 

Penolong jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Dr Apisamai Srirangsan berkata, berdasarkan penilaian CCSA sejak lima hari lalu ketika bermulanya pelaksanaan langkah pencegahan lebih ketat, mendapati ramai yang melanggar peraturan. 

“Untuk melambatkan peningkatan kadar jangkitan, CCSA sedang mempertimbangkan untuk mengetatkan lagi sekatan sedia ada,” katanya pada taklimat harian Covid-19 di Bangkok, semalam.

Sekatan yang dikuatkuasakan sejak Isnin itu termasuk perintah berkurung bermula 9 malam hingga 4 pagi, penutupan pusat beli-belah dan beberapa perniagaan, termasuk di empat wilayah selatan - Narathiwat, Pattani, Songkhla dan Yala.

Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha kembali menjalankan tugas di Rumah Kerajaan hari ini dengan mempengerusikan mesyuarat CCSA, selepas ujian saringan Covid-19 beliau sekali lagi negatif. 

Sementara itu, Dr Apisamai berkata pihak berkuasa kesihatan akan meningkatkan pengesanan kes aktif memandangkan mulai minggu depan orang ramai boleh membeli sendiri kit ujian antigen.

Beliau berkata mereka yang didapati positif selepas menggunakan kit ujian itu perlu menjalani ujian pengesahan RT-PCR di pusat saringan yang diluluskan Kementerian Kesihatan Awam.

Pengarah Bahagian Berita dari Jabatan Penerangan Kementerian Luar, Pensom Lertsithichai berkata terdapat lebih 700 kes melanggar arahan perintah berkurung dan perhimpunan sosial dilaporkan.

Ujarnya tujuh wilayah lain iaitu Chon Buri, Chachoengsao, Rayong, Ratchaburi, Udon Thani, Surin dan Ubon Ratchathani dikategorikan sebagai “kawasan kawalan maksimum dan diperketatkan” atau zon merah gelap, setakat ini terdapat 17 wilayah. 

Mengenai langkah mencampurkan dua vaksin berbeza, Pensom berkata ia kaedah yang selamat dan berkesan untuk memerangi varian Delta. 

Katanya, vaksin AstraZeneca akan digunakan sebagai dos kedua kepada mereka yang menerima vaksin Sinovac untuk dos pertama, dalam tempoh tiga hingga empat minggu kemudian. 

“Ia telah disahkan melalui penyelidikan pakar dan virologi di kolej perubatan,” katanya.

Petugas perubatan, yang sudah menerima dua dos vaksin Sinovac pula akan diberikan suntikan tambahan, sama ada vaksin AstraZeneca atau mRNA, sekurang-kurangnya empat minggu selepas dos kedua. – Bernama, 17 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen