Polis dapat arahan kompaun Sanusi kes pandu uji kereta


Kalidevi Mogan Kumarappa

POLIS mengesahkan menerima arahan mengeluarkan kompaun ke atas Muhammad Sanusi Md Nor kerana melanggar ketetapan kawalan pergerakan dengan menyertai pandu uji kenderaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Abd Jalil Hassan mengesahkan Pejabat Pendakwaan Negeri mengeluarkan arahan tersebut dan menyerahkan semula kertas siasatan.

“Kertas siasatan kes menteri besar Kedah telah dikembalikan kepada polis. Arahan untuk dikompaunkan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Ketika ditanya mengenai amaun kompaun yang bakal dikenakan ke atas menteri besar Kedah itu, Abdul Jalil berkata ia belum diputuskan.

“Itu terpulang pada kuasa mahkamah. Kami akan rujuk kepada mahkamah untuk ditetapkan nilai kompaun,” katanya.

Kertas siasatan itu sebelumnya dihantar ke Bukit Aman dan telah dikembalikan kepada polis negeri itu untuk diserahkan kepada PPN bagi tindakan selanjutnya.

Selain Sanusi, polis dilaporkan menyiasat enam individu yang berada di lokasi sewaktu kejadian pada awal Jun itu, termasuk individu yang bertanggungjawab merakam perbuatan berkenaan.

Turut disiasat, dua kakitangan pusat jualan kenderaan itu dan juga pemandu serta pengiring Sanusi.

Selain itu, polis dilaporkan turut mendapatkan rakaman kamera litar tertutup di kawasan kejadian di Juru Auto City di Kedah.

Siasatan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

Terdahulu, Sanusi dilaporkan menafikan tuduhan itu dan menjelaskan beliau hanya singgah di kedai tersebut dan pandu uji itu pula dilakukan penjual kenderaan pacuan empat roda terbabit.

Dakwanya, kejadian itu berlaku sewaktu beliau bersama seorang pemandu dan polis pengiring singgah dalam perjalanan ke Kuala Lumpur.

Tegasnya, mereka hanya singgah untuk membeli roti dan minuman.

Kemudian beliau tidak membuat pandu uji namun dengan rela duduk di kerusi penumpang kenderaan tersebut yang dipandu jurujual terbabit. – 16 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen