Tak payah kibar bendera putih, semua yang perlu dapat bantuan kerajaan, kata PM


Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata bantuan diagih dengan adil kepada semua rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Julai, 2021.

SEMUA rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19 akan menerima bantuan kerajaan, tanpa mengira kumpulan pendapatan rendah (B40), menengah (M40)atau tertinggi (T20), kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Atas sebab itu, tiada alasan bagi mana-mana pihak mengibarkan bendera putih untuk meminta bantuan, katanya.

Ini kerana kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mempunyai maklumat lengkap untuk memastikan bantuan diagih dengan adil.

“Saya kira (jumlah itu) sebahagian daripada kumpulan sasar baik M40, B40… sekarang kita tak kira… kadang-kadang T20 pun ada yang terkesan kerana dia tak boleh nak meniaga, dia berhenti kerja atau macam-macam yang lain… semua ini kita sampaikan bantuan.

“Tak payah naik bendera putih ke hitam, nak naik bendera biru tak apa. Maksud saya tadi, kita tahu di mana (mereka yang memerlukan bantuan) dan kementerian ada rekod (bantuan yang diberi),” katanya selepas meninjau pusat penyimpanan dan agihan Bakul Prihatin Negara di Kompleks KPWKM di Putrajaya. 

Muhyiddin menambah sistem pendaftaran yang dibuat oleh kerajaan bertujuan memastikan pengagihan bantuan berlaku dengan adil dan saksama.

“Jangan satu orang dapat 10 kotak yang lain tak dapat kotak langsung,” katanya.

Kempen menaikkan bendera putih berjalan tanpa organisasi rasmi sejak beberapa minggu sebagai isyarat rumah berkenaan memerlukan bantuan. 

Kempen itu kemudian sebahagiannya berpindah ke aplikasi selepas ada pihak yang menyelaraskan kemudahan menggunakan teknologi untuk menyatukan penyumbang dan penerima.

Kempen kibar bendera hitam pula adalah gerakan protes terhadap kerajaan yang dianggap gagal menguruskan pandemik Covid-19 dan krisis yang berbangkit.

Muhyiddin memberitahu setakat ini kerajaan sudah menyalurkan lebih 2.3 juta bakul makanan yang melibatkan peruntukan RM173.4 juta. Ia memberi manfaat kepada 9.26 juta orang sejak bantuan bakul makanan fasa pertama dilaksanakan pada Mac tahun lalu.

Jumlah itu tidak termasuk bantuan Bakul Prihatin Negara, yang merupakan usaha sama antara kerajaan dan sektor swasta meringankan beban rakyat di tengah pandemik Covid-19.

Bantuan itu disedia menggunakan peruntukan RM5 juta daripada Pejabat Perdana Menteri dan RM16 juta sumbangan sektor korporat, yang disampaikan kepada Muhyiddin hari ini.

Bantuan makanan yang akan diagihkan bernilai RM50, mengandungi beras, gula, tepung gandum, bihun, kicap, sardin, biskut, kopi dan garam.

Menurut Muhyiddin, peruntukan RM21 juta itu akan menyediakan 420,000 bakul makanan yang memanfaatkan sehingga 1.68 juta penerima. – 15 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen