Pelantikan ketua jabatan USM: Amalan untuk semua IPTA?


AWAL minggu ini, Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (Gerak) dimaklumkan yang pihak Universiti Sains Malaysia (USM) memutuskan pemilihan dekan dan ketua jabatan Pusat Tanggunjawab Akademik turut melibatkan “staf bukan akademik” pusat tersebut. 

Keputusan ini ditarik balik pada 11 Julai selepas Persatuan Kakitangan Akademik USM (PKAPUSM) mengingatkan pihak pentadbir tertinggi USM yang tindakan tersebut melanggar peruntukan yang termaktub dalam Auku 1971 Seksyen 18 dan juga Perlembagaan USM Seksyen 29 (4).

Seksyen 29(4) ini jelas menyatakan “Naib Canselor hendaklah, selepas berunding dengan pekerja akademik setiap fakulti atau pusat pengajian, melantik seorang dekan berkenaan” (tekanan kami).

Gerak mengalu-alukan keputusan baharu ini.

Sebagai latar belakang, sejak 2011, USM merupakan salah satu universiti awam yang mula melaksanakan proses pencalonan dan pemilihan dekan menerusi pendekatan bottom-up. 

Ini melibatkan semua “staf akademik” dalam proses pencalonan dan pengundian di setiap pusat pengajian. 

Proses rundingan sebegini adalah satu mekanisme yang amat penting untuk menjamin isu berkenaan kepentingan dan kebebasan akademik dapat disuarakan, dirundingkan dan dipertahankan pada peringkat Pusat Pengajian. 

Gerak berpendapat tujuan peruntukan Seksyen 29 (4) dalam Perlembagaan USM adalah untuk memperkenalkan elemen pendemokrasian bagi menggantikan mekanisme “budi bicara” pihak naib canselor dalam proses pencalonan dan pemilihan jawatan dekan. 

Pada asasnya, sistem ini bertujuan mempertingkatkan ketelusan dan akauntabiliti dalam proses pelantikan ketua jabatan di pusat pengajian, institut, pusat akademik, pusat penyelidikan dan akademi. 

Namun, Gerak sedar masih terdapat beberapa kelemahan dalam pelaksanaan proses tersebut. 

Pertama, pihak universiti jarang mengumumkan keputusan pencalonan dan pemilihan yang dilakukan oleh ahli-ahli akademik dalam sesebuah pusat pengajian. 

Hal ini menunjukkan isu tadbir urus yang kurang telus dari segi pelaksanaan pencalonan dan pemilihan ketua jabatan bagi Pusat Tanggungjawab Akademik.

Kedua, naib canselor tidak diwajibkan untuk melaksanakan pelantikan ketua jabatan mengikut keputusan majoriti.

Hal ini menimbulkan keraguan antara kalangan staf akademik yang selalu mempersoalkan akauntabiliti pihak pelaksana dalam proses sedemikian. 

Akibatnya, semangat penyertaan staf akademik terjejas dan memberikan satu impak yang negatif terhadap budaya kebebasan akademik di USM. 

Oleh itu, Gerak berpandangan amalan di USM ini perlu diperhalusi dari segi prosedur pendemokrasian proses pencalonan, pemilihan dan pelantikan dekan, atas prinsip memperjuangkan kebebasan akademik.

Gerak menegaskan institusi-institusi pendidikan tinggi di Malaysia mempunyai kewajipan untuk menjalankan pendidikan dan penyelidikan berdasarkan autonomi keilmuan. 

Kenyataan Gerak ini berasaskan prinsip mempertahankan kebebasan akademik dan semangat kesepakatan.

Gerak juga ingin menyaran dan menyokong usaha berterusan PKAP USM untuk menegakkan intipati Perlembagaan USM bagi tujuan menambahbaikan proses dan amalan pendemokrasian institusi pendidikan tinggi di Malaysia. – 12 Julai 2021.

* Majlis Kerja Gerak / Gerak Exco.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen