MCA, MIC tak setuju tarik balik sokongan kepada Muhyiddin, kata sumber


Khoo Gek San

MCA dan MIC berkata mereka mahu BN mengekalkan kerjasama dengan Perikatan Nasional sehingga negara keluar daripada pandemik Covid-19 dan ekonomi kembali stabil, kata sumber. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Julai, 2021.

MCA dan MIC tidak bersetuju dengan keputusan Umno menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, menurut sumber.

Sumber memberitahu The Malaysian Insight, dua rakan Umno dalam komponen Barisan Nasional (BN) itu berkata mereka mahu mengekalkan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) sehingga negara keluar daripada pandemik Covid-19 dan ekonomi kembali stabil.

Rabu lalu, Umno umum menarik balik sokongan kepada Muhyiddin sebagai perdana menteri berkuat kuasa serta merta. Parti itu juga mendesak Muhyiddin letak jawatan “secara terhormat” bagi membuka ruang untuk seorang perdana menteri baharu dilantik bagi suatu tempoh yang terhad untuk menguruskan hal ehwal berkaitan Covid-19.

Kebanyakan ahli Parlimen Umno, termasuk menteri dan timbalan menteri parti itu dalam kerajaan PN bagaimanapun memutuskan untuk terus menyokong Muhyiddin selepas keputusan itu diumumkan presiden mereka Ahmad Zahid Hamidi.

Malah MCA dan MIC mempersoalkan sama ada Zahid, yang juga pengerusi BN yakin gabungan itu akan menang dalam pilihan raya umum akan datang selepas menarik sokongan terhadap PN.

Dua parti itu juga bertanya adakah Umno yakin mempunyai cukup sokongan untuk membentuk kerajaan baharu, atau adakah parti itu akan bekerjasama dengan PKR dan DAP.

“Jika tidak, Umno sudah pasti tidak ada sukup sokongan,” katanya.

Sumber itu juga berkata kepimpinan MCA dan MIC sudah memaklumkan kepada Zahid sebelum ini bahawa sebarang keputusan melibatkan BN selepas melalui perbicangan bersama, dan bukanlah dibuat oleh Umno atau ahli Parlimen Bagan Datuk itu sendiri.

“Keputusan untuk menarik balik sokongan terhadap PN mestilah diputuskan oleh Majlis Tertinggi BN, dan Umno tidak boleh membuat keputusan sendiri.”

Pelantikan Ismail Sabri Yaakob sebagai timbalan perdana menteri dan Hishammuddin Hussein sebagai menteri kanan keselamatan adalah atas cadangan BN, tambah sumber.

Cadangan itu dikemukakan kepada Muhyiddin untuk menstabil dan memperkukuh kerajaan, terutamanya ketika negara sedang mengurus pandemik Covid-19, katanya.

“Ismail Sabri sedang mendapatkan pandangan ahli-ahli Parlimen Umno dan mungkin setuju supaya BN kekal bersama Bersatu sehinggalah pandemik terkawal,” kata seorang lagi sumber kepada The Malaysian Insight.

Katanya, pemimpin-pemimpin BN menyokong pelantikan Ismail Sabri dan Hishammuddin kerana tidak mahu berlaku pergolakan politik ketika negara masih lagi bergelut dengan wabak Covid-19.

Pelantikan Ismai Sabri dan Hishammuddin itu diumum beberapa jam sebelum Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno bermesyuarat pada malam Rabu lalu. 

Keputusan menarik balik sokongan kepada Muhyiddin dicapai dalam mesyuarat MKT Umno yang berlangsung lebih empat jam.

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan bagaimanapun semalam berkata semua 38 ahli Parlimen Umno bebas untuk mengundi di Dewan Rakyat nanti tanpa terikat dengan ketetapan parti.

Presiden MIC S Vigneswaran berkata Muhyiddin tidak perlu berundur hanya kerana desakan dari Umno. Beliau memberitahu The Malaysian Insight semalam, MIC akan tunggu dan lihat di Parlimen sama ada semua ahli Parlimen Umno akan mengikut langkah menarik balik sokongan kepada Muhyiddin.

“Biar Umno tunjuk di Parlimen yang mereka tarik balik sokongan. Biar mereka tarik sokongan dahulu, tengok apa ahli Parlimen mereka akan buat,” kata Vigneswaran.

Sementara itu Setiausaha Agung MCA Chong Sin Woon berkata parti itu akan terus menyokong kerajaan PN sehingga pilihan raya umum akan datang.

“Sehingga BN buat keputusan baharu, MCA akan terus menyokong PN sampai PRU15, seperti yang dipersetujui oleh BN sebelum ini,” beliau memberitahu The Malaysian Insight.

BN mempunyai 42 kerusi di Dewan Rakyat - Umno (38), MCA (2), MIC (1) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (1). – 9 Julai, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen