MIC tak setuju dengan Umno, Muhyiddin tak perlu berundur, kata presidennya


Presiden MIC S Vigneswaran berkata, partinya akan biarkan Umno tunjuk dahulu langkah menarik balik sokongan itu melalui Parlimen. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Julai, 2021.

PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin tidak perlu berundur hanya kerana desakan dari Umno, kata Presiden MIC S. Vigneswaran.

Ketua parti komponen Barisan Nasional (BN) itu berkata MIC tidak bersetuju dengan keputusan Umno yang mahhu menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin.

Malah, katanya, MIC akan tunggu dan lihat di Parlimen sama ada semua ahli Parlimen Umno akan mengikut langkah menarik balik sokongan itu.

“Pandangan saya berlawanan dengan apa pun yang mereka fikir,” kata Vigneswaran kepada The Malaysian Insight.

Katanya, pada tahap ini, MIC akan biarkan Umno tunjuk dahulu langkah menarik balik sokongan itu melalui Parlimen. Sidang khas lima hari Dewan Rakyat akan diadakan pada 26 Julai, walaupun agenda mesyuarat belum jelas.

“Biar Umno tunjuk di Parlimen yang mereka tarik balik sokongan. Biar mereka tarik sokongan dahulu, tengok apa ahli Parlimen mereka buat,” kata Vigneswaran, menambah Umno belum jelaskan rancangan keputusannya itu kepada MIC sebagai anggota BN.

Vigneswaran berkata beliau percaya parti komponen dalam BN yang lain seperti MCA dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) juga tidak akan bersetuju.

Bekas speaker Dewan Negara itu juga berkata Yang di-Pertuan Agong tidak akan bertindak sehingga dan kecuali ada bukti jelas Muhyiddin telah hilang majoriti dalam kalangan ahli Parlimen.

“Bukan bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk ikut kehendak atau kemahuan individu atau parti.

“Dan anda tidak boleh desak perdana menteri letak jawatan kecuali jika beliau hilang sokongan (ahli Parlimen) di Parlimen.”

Vigneswaran berkata demikian sebagai mengulas pengumuman presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno malam tadi yang memutuskan parti itu menarik balik sokongan kepada Muhyiddin dengan serta merta.

Menurutnya, langkah itu dibuat kerana kerajaan Perikatan Nasional telah gagal mengawal pandemik Covid-19, ekonomi dan kesejahteraan rakyat, selain salah guna kuasa darurat untuk menggantung demokrasi berparlimen.

Zahid ketika mengumumkan keputusan Umno malam tadi berkata perdana menteri baharu perlu dilantik sehingga negara berjaya tangani pandemik dan mencapai imuniti kelompok melalui vaksinasi sebelum mengadakan pilihan raya umum ke-15.

Beliau bagaimanapun tidak menamakan calon perdana menteri sementara.

“Hanya sebab beliau cakap hari ini beliau tarik sokongan, jadi anda harap Yang di-Pertuan Agong akan ikut? Bukan macam itu.

“Zahid kena ada bukti yang jelas,” kata Vigneswaran. – 8 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen