Mengapa tunggu akhir Julai untuk Parlimen bersidang, soal Dr Mahathir


Chan Kok Leong Mikha Chan

Bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan kenapa perlu tunggu sampai 20 hari untuk Parlimen bersidang, sedangkan ramai orang mati setiap hari akibat Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Julai, 2021.

TIDAK ada sebab kenapa Parlimen tidak boleh bersidang sekarang, bukannya 20 hari lagi, kata Dr Mahathir Mohamad.

“Kenapa nak kena tunggu sampai 20 hari sedangkan lebih kurang 100 orang meninggal setiap hari?

“Kerajaan ini tidak ada sikap kesegeraan,” kata bekas perdana menteri itu di Facebook hari ini.

Dr Mahathir berkata demikian menjawab soalan mengenai sidang Dewan Rakyat yang akan diadakan pada 26 Julai dan 3 Ogos bagi Dewan Negara.

Selepas berbulan-bulan lamanya rakyat menuntut, sehingga Yang di-Pertuan Agong mengulangi titah baginda agar kerajaan membuka semula Parlimen, akhirnya pada Isnin lepas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan Dewan Rakyat akan bersidang selama 5 hari sementara 3 hari untuk sidang Dewan Negara.

Bagaimanapun bagi Dr Mahathir dan ahli Parlimen pembangkang, sidang pada 26 Julai terlalu lewat.

“Ini sangat penting dan patut dibuat sekarang. Kita kena bersidang dalam 2-3 hari ini untuk dengar apa yang kerajaan rancang supaya boleh kekang pandemik Covid-19 ini.

“Apa sahaja yang mereka buat tidak berkesan. Setiap kali kerajaan buat sesuatu, jangkitan meningkat.

“Pada Januari 2020, jumlah jangkitan bawah 100, tetapi Perikatan Nasional ambil alih dan kemudian putuskan nak ambil semula Sabah. Selepas itu, jangkitan naik kepada 2,000 kes setiap hari.”

Dr Mahathir berkata keadaan ini juga sama selepas Muhyiddin mengumumkan darurat pada Januari tahun ini.

Katanya, walaupun jangkitan sekitar 2,000 pada Januari, ia meningkat kepada 7,000 semalam.

“Setiap kali kerajaan cadang sesuatu, keadaan jadi lebih teruk. Saya tidak tahu kenapa mereka tidak mahu adakan sidang Parlimen sekarang, waktu saya duduk di rumah satu bulan.

“Sebaliknya, mereka hendak adakan sidang lima hari di mana dua hari pertama akan digunakan untuk bincang sama ada nak buat sidang Parlimen hibrid sebelum mula.

“Kita tak mahu itu. Kita nak bincang bagaimana nak lawan pandemik Covid-19 ini,” kata pengerusi Pejuang itu.

Dr Mahathir berkata demikian dalam forum Reset Malaysia mengenai permasalahan dan penyelesaian untuk pandemik Covid-19. Forum itu turut disertai Rafidah Aziz dan Dr Adeeba Kamarulzaman, dan dikendalikan oleh Dr Abu Hafiz Salleh Hudin. – 7 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen