Pengerusi Ummah buta fakta dan sejarah


KAMI merujuk kepada laporan Malay Mail Online pada 13 Januari, “Dalam ucapan yang berapi-api, ulama memberitahu forum bahawa hanya orang Melayu menentang penceroboh dan komunis”.

Dilaporkan bahawa Ismail Mina Ahmad, pengerusi Ummah, kumpulan payung untuk pertubuhan Islam, menegaskan hanya orang Melayu yang berjuang melawan komunis.

Beliau juga mengatakan hanya orang Melayu yang berperang melawan British dan Jepun. Penegasan lain oleh pengerusi Ummah adalah kaum minoriti yang bersuara lantang (merujuk kepada orang bukan Melayu) menimbulkan bahaya kepada kedudukan Islam di negara ini dan pemerintahan politik Melayu dengan tujuan merebut kuasa, dan juga mahu menjadi perdana menteri.

Kami tidak marah dengan penulis kerana apa yang beliau ucapkan tidak mencerminkan diri beliau sebagai seorang yang mahir dalam hal ehwal semasa dan sejarah.

Seseorang yang berusia, berpengalaman dalam agama, serta berakar dalam sentimen “bangsa dan agama”, beliau mungkin mudah dimanipulasi oleh orang lain dengan sentimen berhubung kaum dan agama.

Lain-lain taktik kotor juga mungkin diguna pakai memandangkan pilihan raya umum yang semakin hampir. Seorang ulama dan orang tua biasanya mempunyai kebijaksanaan, mempromosikan perasaan kasih sayang, kedamaian, pemahaman, dan belas kasihan. Sudah tentu tidak mempromosikan perasaan kebencian.

Patriot sangat kecewa dengan mereka yang menaja forum Ummah yang diselitkan dengan ucapan membenci di samping memutar-belitkan fakta sejarah. Pada masa ekonomi kita menghadapi begitu banyak ketidakpastian, pertumbuhan yang tidak stabil sejak 2016, hutang kerajaan pada kadar 53.2% KDNK, hutang 1MDB yang perlu dibayar, 50,000 pekerja bakal hilang pekerjaan tahun ini; sebarang tindakan yang menyebabkan perpecahan adalah tidak sihat buat negara dan masyarakat kita.

Kejahilan boleh menimbulkan perasaan jijik jika tidak sekat. Patriot perlu mengulangi apa yang disebutkan sebelum ini.

Sejak zaman sebelum merdeka, semasa darurat pertama dan kedua, tahun-tahun awal “Home Guard”, “Templer’s Super 12”, Rejimen Persekutuan, Misi Pengaman Congo, Konfrontasi, keganasan komunis dalam bandar, operasi hutan di Semenanjung Malaysia , Sabah dan Sarawak; pegawai dan anggota bukan Melayu, termasuk kaum Cina, India, Sikh, Orang Asli, Iban, Dayak dan Kadazan; berjuang dengan berani bersama rakan-rakan seperjuangan Melayu mereka.

Dalam Tentera Udara, ramai juruterbang bukan Melayu menerbangkan helikopter dalam misi bahaya menghantar bekalan dan membuat evakuasi, dan pesawat mereka ditembak pihak musuh. Ada di kalangan pegawai dan anggota ini yang menjadi korban dan ada juga yang dianugerahkan dengan pingat keberanian.

Di samping itu, kejayaan yang dicapai oleh pasukan keselamatan kita dalam menangani pemberontak PKM (Parti Komunis Malaya) dan pengganas dalam bandar adalah hasil operasi bahaya dan rahsia yang dijalankan oleh polis Cawangan Khas dan Perisikan Tentera, yang ramai terdiri daripada kaum Cina.

PKM bukan semuanya terdiri daripada etnik Cina. Rejimen ke-10 PKM kebanyakannya terdiri daripada orang Melayu, yang pemimpinnya termasuk Abdullah CD, Rashid Mydin, dan Samsiah Pakeh. Tambahan pula, keganasan dan pembunuhan kejam yang dilakukan oleh MPAJA (Malayan People Anti-Japanese Army) selepas Jepun menyerah diri, yang kemudiannya mengangkat senjata menentang British adalah berdasarkan ideologi dan bukannya perkauman.

Memutar-belitkan fakta sejarah demi memenuhi kepentingan politik dan menyemai perasaan benci terhadap bukan Melayu sangat tidak bertanggungjawab.

Patriot menyeru menteri pertahanan dan menteri dalam negeri untuk memperbetulkan tanggapan salah berhubung penyertaan lain-lain kaum yang berjuang menentang musuh negara dan pengganas komunis. Panglima Angkatan Tentera dan Ketua Polis Negara juga harus secara terbuka menyatakan hal yang sama. Ketua Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) juga perlu membuat pernyataan untuk membimbing ulama berkenaan yang membuat pernyataan yang menyimpang daripada fakta dan kebenaran.

Kita perlu mengenang jasa mereka yang telah berbakti kepada Raja dan negara dengan penuh keberanian. Mereka terdiri daripada berbilang bangsa, sifat kepahlawanan dan keberanian mereka, pengorbanan mereka tidak boleh dilupakan.

Berdiam diri dan tidak bersuara terhadap pemalsuan fakta bukanlah satu pilihan. Ia mencerminkan sikap tidak bertanggungjawab seorang pemimpin. – 15 Januari, 2018.

* Mohamed Arshad Raj ialah presiden Persatuan Patriot Kebangsaan.

* Ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Ni ularmak bukan ulama

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan