Polis dapati majoriti kes bunuh diri babit wanita, remaja


Kes bunuh diri menjadi kebimbangan sejak PKP mula dikuatkuasa pada Mac 2020 apabila Covid-19 diisytihar sebagai pandemik. – Gambar pexel, 1 Julai, 2021.

MAJORITI kes bunuh diri membabitkan golongan wanita dan remaja, menurut data polis yang turut menunjukkan peningkatan ketara kes pada tahun kedua pandemik Covid-19.

Angka itu menunjukkan, lebih ramai individu membunuh diri dalam tempoh lima bulan tahun ini berbanding 50% daripada jumlah kes yang berlaku setiap tahun sejak 2019.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Abd Jalil Hassan berkata jumlah kes membabitkan wanita pula lima kali ganda lebih tinggi berbanding lelaki, untuk keseluruhan tempoh tersebut.

“Pecahan mengikut jantina seramai 28 orang lelaki dan 1,427 orang wanita dilaporkan membunuh diri,” kata Abd Jalil dalam kenyataannya.

Katanya, sebanyak 468 kes berlaku sejak Januari hingga Mei tahun ini, berbanding 609 kes untuk keseluruhan 2019 dan 631 kes pada 2020.

Polis juga mendapati golongan remaja lebih ramai membunuh diri, dengan 872 orang dalam usia 15 hingga 18 tahun berbanding 668 orang mangsa berumur 19 hingga 40 tahun.

Dua negeri juga didapati mencatat jumlah kes paling tinggi dengan 101 di Johor bagi 2019 dan 2020 dan 117 kes di Selangor pada 2021, katanya.

Data tersebut disiarkan PDRM sewaktu kes bunuh diri semakin menjadi perhatian ekoran lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk menangani gelombang jangkitan.

Kes bunuh diri menjadi kebimbangan sejak PKP mula dikuatkuasa pada Mac 2020 apabila Covid-19 diisytihar sebagai pandemik.

Abd Jalil menambah, siasatan mengenalpasti tiga punca utama kes bunuh diri – masalah keluarga, tekanan perasaan dan kewangan.

Beliau seterusnya menggesa masyarakat memikul tanggungjawab membendung gejala tersebut dengan menyalurkan bantuan dan sokongan kepada individu terlibat.

Ia termasuk bantuan bagi masalah kewangan, kesihatan, tekanan perasaan, kemurungan dan masalah keluarga.

Beliau juga menyeru individu yang mengalami masalah dan tekanan untuk mendapatkan bantuan dan sokongan.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah pada Selasa lalu menggesa orang awam supaya peka dengan anggota keluarga dan individu yang mengalami simptom depresi.

Ia termasuk perubahan sikap, luahan rasa putus harapan atau berasa diri sebagai beban keluarga, dan sekiranya individu itu menyatakan hasrat menamatkan nyawa sendiri

Katanya, pengasingan daripada jaringan sokongan dan tekanan melampau akan meningkatkan risiko masalah kesihatan mental seperti depresi yang boleh mendorong kepada kecenderungan bunuh diri. – 1 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen