Syarikat penipuan wang kian maju bila pelabur takut lapor polis


Oh Seow Pheng

Anggota polis merampas pelbagai dokumen ketika menyerbu pejabat syarikat penipuan wang JJTPR di George Town, Pulau Pinang pada Mei tahun lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Januari, 2018.

BIARPUN rugi berjuta ringgit, pelabur tetap enggan membuka rahsia tentang siapa pengendali syarikat penipuan wang itu, yang terus-terusan beroperasi tanpa rasa takut terhadap tindakan pihak berkuasa.

Tidak ada statistik tentang berapa ramai yang mengalami kerugian menerusi penipuan wang itu di Malaysia, tetapi dipercayai ia menjadi masalah di seluruh negara.

Bekas Adun Selangor, Ronnie Liu memberitahu The Malaysian Insight majoriti mangsa kekal senyap kerana mereka percaya ada orang yang berkuasa menjadi dalang di sebalik penipuan itu, dan mereka bimbang dikenakan balasan jika membuat laporan kepada polis.

“Mangsa fikir syarikat penipuan wang dikawal oleh orang berkuasa, mereka mungkin ahli kongsi gelap atau mereka yang dianggap berpengaruh dalam kerajaan, atau mungkin kawan kepada polis.

“Mereka takut jika buat laporan polis, mereka tidak akan dapat kembali pelaburan itu,” kata Liu.

Katanya, sesetengah mangsa terpaksa bersusah-payah untuk membuat laporan polis, tetapi kemudian menarik balik bila dibayar semula.

“Selalunya, mangsa bersetuju menarik balik laporan apabila mereka akan dapat semula wang.

“Kes ini tidak sepatutnya diselesaikan dengan cara itu, tetapi kita tidak ada pihak berkuasa untuk menghentikan mereka.”

Bekas exco Selangor, Ronnie Liu (tengah) bercakap bagi pihak sekumpulan pelabur China di luar pejabat syarikat Monspace di Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Jun tahun lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Januari, 2018.

Skim penipuan wang itu paling aktif di Pulau Pinang, diikuti Selangor dan Johor.

Ia satu penipuan yang lengkap, menekankan tentang kejayaan, masa depan dan harapan sebagai kata kunci utama untuk mendapatkan perhatian.

Syarikat terbabit bukan saja menipu, mereka juga terbabit dalam aktiviti mengumpul wang secara haram, skim piramid, pemasaran pelbagai peringkat, pengurusan forex secara haram, mata wang asing maya dan aktiviti haram lain.

Jabatan Jenayah Komersial dalam satu laporan pada Disember berkata jabatan itu menyiasat 43 pengendali penipuan wang dan syarikat pelaburan, dengan jumlah mangsa dipercayai sehingga 1.3 juta orang, dengan nilai penipuan dianggarkan RM5.8 bilion.

Turut dilaporkan polis mengambil tindakan terhadap 13 sindiket penipuan wang, yang menipu lebih 330,000 orang dengan nilai RM2 bilion.

Antara sindiket yang dikenakan tindakan oleh polis ialah MGSB, Roopers Burger, Triggerfx, Pelaburan Feenra Gold and Resources, Pelaburan Saham Myzia Coin dan Pelaburan AGR Holdings.

Pengendali penipuan wang paling terkemuka Johnson Lee Chong Sen yang juga pengasas entiti perdagangan forex JJ Poor to Rich (JJPTR), didakwa atas kesalahan menipu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tahun lalu.

Johnson dan dua rakan kongsi kanannya – Pang Chee Peng dan Lim Seong Weil didakwa kerana menipu.

Liu berkata beliau mengesyaki Lee ada hubungan baik dengan pihak penguatkuasaan, sehinggakan dia hanya dikenakan pertuduhan yang ringan.

Mengambil satu lagi syarikat penipuan wang Monspace sebagai contoh, Liu berkata pihak berkuasa enggan menyiasat, tetapi Monspace pada masa ini berada dalam senarai amaran pengguna di Bank Negara Malaysia.

“Kami bawa banyak pengadu membuat laporan polis, dan polis kata mereka terima sekurang-kurangnya 80 aduan terhadap Monspace.

“Tetapi polis kata pengadu warga China dan transaksi dibuat di China, maka pihak berkuasa Malaysia tidak ada bidang kuasa terhadap kes itu. Kami sudah pun bawa pengadu ke China untuk buat laporan di sana.

“Persoalannya ialah, penipu yang didakwa itu rakyat Malaysia, kenapa pihak berkuasa tidak boleh siasat?,” katanya.

Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng yang juga seorang peguam berkata pihak berkuasa boleh menggunakan undang-undang perbankan dan kewangan, undang-undang syarikat, cukai, jualan langsung, pengubahan wang haram dan mengedar maklumat palsu Internet dan lain-lain, tetapi mereka hanya menggunakan undang-undang paling ringan terhadap penipu terbabit.

“Di bawah Seksyen 420, jika tertuduh tidak ada rekod jenayah, mereka boleh mengaku bersalah. Dan dengan peguam yang bagus, mereka boleh kurangkan lagi hukuman kepada hanya denda, tidak perlu ke penjara,” katanya.

Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng berkata pihak berkuasa boleh menggunakan pelbagai undang-undang lain dalam menyiasat laporan tentang syarikat permainan wang yang menipu pelabur. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Januari, 2018.

Kerana beban bukti yang tinggi, pihak berkuasa perlu menyiasat dengan terperinci untuk memastikan sabitan kes, maka mangsa perlu membuat laporan.

Seorang promoter kosmetik yang pernah mempromosikan beberapa syarikat penipuan wang memberitahu The Malaysian Insight permainan itu berkembang kerana pelabur terlalu senang terpedaya dengan wang mudah.

“Bila salah satu syarikat itu tutup, seorang mak cik yang pernah nampak saya mempromosikan syarikat penipuan itu ingatkan saya salah seorang pengendalinya.

“Dia melutut dan memegang kaki saya, minta saya pulangkan duit kerandanya. Dia kata saya tidak sepatutnya tipu duit orang tua seperti ini, dia juga sumpah saya mati dengan teruk.

“Saya beritahu dia saya bukan bos, dan mereka semua sudah larikan diri. Dia hampir pengsan bila dengar. Itu buat saya takut dan menyedarkan hingga saya buat keputusan tinggalkan dunia penipuan wang,” katanya yang enggan namanya didedahkan. – 14 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen