YANG di-Pertuan Agong mesti bertindak atas nasihat Kabinet untuk memanggil Parlimen bersidang, kata Peguam Negara Idrus Harun.
Beliau berkata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin perlu memutuskan tarikh sekurang-kurangnya 28 hari sebelum persidangan Parlimen.
“Berkait dengan kuasa Jemaah Menteri dalam menasihati Yang diPertuan Agong untuk memanggil Parlimen bersidang, Peraturan Mesyuarat 11(2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan Peraturan Mesyuarat 10(2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Negara memperuntukkan bahawa Ketua atau Timbalan Ketua Majlis iaitu (Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri) hendaklah menetapkan, sekurang-kurangnya 28 hari sebelum permulaan tiap-tiap Penggal, tarikh-tarikh Majlis akan bermesyuarat dalam sesuatu Penggal dan Ketua atau Timbalan Ketua Majlis boleh mengubah tarikh yang ditetapkan.
“Oleh itu, selaras dengan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil Parlimen bersidang yang dijalankan mengikut nasihat Jemaah Menteri, tarikh-tarikh mesyuarat Dewan Rakyat dan Dewan Negara juga ditentukan oleh Jemaah Menteri,” kata Idrus dalam satu kenyataan hari ini.
Pada 16 Jun, Agong bertitah Parlimen perlu bersidang segera bagi membolehkan semua ordinan darurat dan pelan pemulihan negara untuk keluar daripada pandemik Covid-19 dibahaskan oleh wakil rakyat.
Raja-Raja Pemerintah juga berpendirian perintah darurat tidak perlu diteruskan selepas 1 Ogos ini.
Parlimen digantung dalam keadaan darurat yang dilaksanakan dari 11 Januari hingga 1 Ogos bagi memerangi pandemik Covid-19.
Kali terakhir ahli Parlimen bersidang di Parlimen pada Disember 2020.
Idurs berkata, kedudukan Agong sebagai Raja Berpelembagaan seperti yang diperuntukkan di bawah Artikel 58 Perlembagaan Persekutuan tidak akan berubah walaupun Proklamasi Darurat diisytiharkan.
Beliau juga menyebut kes N Madhavan Nair lawan kerajaan Malaysia (1975) di mana mahkamah mendapati pengisytiharan darurat, yang menyerahkan kuasa perundangan dari Parlimen kepada Agong tidak mengubah kedudukannya sebagai Raja Berpelembagaan yang terikat dengan perlembagaan bertindak setiap masa atas nasihat Kabinet.
Minggu lepas Presiden Umno Zahid Hamidi dan Yang di-Pertua Dewan Negara Rais Yatim, kedua-duanya berkata, di bawah Ordinan Darurat 2021 membolehkan Yang di-Pertuan Agong memanggil, memprorog atau membubarkan Parlimen.
Memetik Seksyen 14 (1) (a) ordinan itu, Yang di-Pertua Dewan Negara itu berkata, ketika darurat, kuasa untuk memanggil, memprorog, atau membubarkan Parlimen tidak lagi terpakai di bawah Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan.
Katanya ini bermaksud Yang di-Pertuan Agong boleh mengarahkan Parlimen bersidang tanpa nasihat perdana menteri.
Zahid menambah bahawa peruntukan di bawah Ordinan Darurat menggantikan Perlembagaan Persekutuan dan Agong boleh mengadakan persidangan pada bila-bila masa.
Idrus berkata subseksyen 14(1) Ordinan Darurat tersebut perlu dibaca bersama-sama dengan peruntukan lain dalam Ordinan Darurat tersebut seperti seksyen 17 dan 18.
Seksyen 17 memperuntukkan bahawa bagi tempoh darurat berkuat kuasa, kuasa yang diberikan di bawah Ordinan Darurat tersebut adalah tambahan kepada, dan bukanlah sebagai menggantikan, kuasa yang diberikan oleh atau di bawah mana-mana undang-undang bertulis lain yang sedang berkuat kuasa
Seksyen 18 pula memperuntukkan sekiranya terdapat apa-apa percanggahan atau ketidakselarasan antara peruntukan Ordinan Darurat tersebut dengan mana-mana undang-undang bertulis yang lain, peruntukan Ordinan Darurat tersebut hendaklah mengatasi dan peruntukan undang-undang bertulis lain yang bercanggah atau tidak selaras itu hendaklah disifatkan digantikan setakat percanggahan atau ketidakselarasan itu. – 25 Jun, 2021.
Komen