Agong boleh arah Parlimen bersidang, kata Rais Yatim


Yang di-Pertua Dewan Negara Rais Yatim berkata, menurut Ordinan Darurat, kuasa untuk memanggil, memprorog, atau membubarkan Parlimen tidak lagi terpakai di bawah Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk mengarahkan Parlimen bersidang tanpa nasihat perdana menteri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Jun, 2021.

KUASA yang diberikan di bawah Ordinan Darurat 2021 membolehkan Yang di-Pertuan Agong memanggil, memprorog atau membubarkan Parlimen, kata Rais Yatim.

Memetik Seksyen 14 (1) (a) ordinan itu, Yang di-Pertua Dewan Negara itu berkata, ketika darurat, kuasa untuk memanggil, memprorog, atau membubarkan Parlimen tidak lagi terpakai di bawah Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan.

Katanya ini bermaksud Yang di-Pertuan Agong boleh mengarahkan Parlimen bersidang tanpa nasihat perdana menteri.

“Subseksyen (1) (b) (dari Ordinan Darurat) memberikan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong memanggil, memprorog dan membubarkan Parlimen.

“Kuasa ini diturunkan terus kepada Baginda. Penurunan kuasa selesai,” kata Rais melalui Twitter hari ini.

Awal hari ini, Presiden Umno Zahid Hamidi turut menekankan perkara sama dengan berkata peruntukan itu mengatasi Perlembagaan, dan Yang di-Pertuan Agong berkuasa memanggil Parlimen untuk bersidang pada bila-bila masa.

Bagaimanapun, seorang anggota Majlis Peguam New Sin Yew berpendapat, Yang di-Pertuan Agong tetap tidak berkuasa mutlak untuk memanggil Parlimen bersidang.

Katanya, walaupun Seksyen 14 dalam Ordinan Darurat tetap perlu dibaca bersama Perkara 40(1) dalam perlembagaan.

Oleh itu, walaupun peruntukan darurat menyatakan Parlimen boleh dipanggil bersidang pada tarikh yang difikirkan perlu oleh Agong, baginda tetap perlu bertindak atas nasihat perdana menteri.

Jelasnya, ini kerana peruntukan dalam Seksyen 14 Ordinan Darurat itu tidak bercanggah dengan peruntukan Perkara 40 dalam perlembagaan.

Oleh itu, Ordinan Darurat tidak mengatasi perlembagaan dalam kes itu kerana tidak bercanggah, katanya.

Hujahnya, frasa “difikirkan sesuai oleh” baginda dalam Seksyen 14 Ordinan Darurat itu sememangnya lazim ditemui dalam undang-undang bertulis yang lain.

“... (frasa itu) sentiasa difahami bermaksud YDPA bertindak atas nasihat.” katanya.

Maka tiada percanggahan timbul kerana Seksyen 18 Ordinan Darurat yang menyebut peruntukan itu mengatasi perlembagaan sekiranya terdapat percanggahan, katanya.

“Janganlah kita salah tafsir prinsip undang-undang yang sudahpun berkuatkuasa,” katanya.

Pada 16 Jun lalu, Yang di-Pertuan Agong bertitah Parlimen perlu bersidang secepat mungkin bagi membolehkan semua ordinan darurat dan pelan pemulihan negara untuk keluar daripada pandemik Covid-19 dibahaskan.

Dalam kenyataan berasingan, Raja-raja Melayu sependapat darurat tidak perlu disambung lagi selepas tempohnya berakhir pada 1 Ogos ini.

Pejabat Perdana Menteri berkata ia mengambil maklum titah Yang di-Pertuan Agong dan akan bertindak mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan bagaimanapun berkata titah Yang di-Pertuan Agong tidak memperincikan tarikh untuk Parlimen bersidang walau menegaskan persidangan perlu dibuat secepat mungkin. – 19 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen