Polis Perancis serbu konsert haram langgar perintah berkurung Covid-19


Seramai 400 anggota polis dikerahkan untuk menyuraikan konsert haram dihadiri lebih 1,500 orang di Perancis. – Gambar AFP, 20 Jun, 2021.

LIMA anggota polis cedera di barat Perancis semasa menyuraikan konsert haram dihadiri 1,500 orang, kata pihak berkuasa pada Sabtu, dengan seorang peserta konsert putus tangan.

Polis menembak gas pemedih mata untuk menyuraikan khalayak yang melanggar perintah berkurung jam 11 malam pada Jumaat dan berpesta sehingga tengahari Sabtu di kawasan lumba kuda berhampiran Redon di Brittany.

“Pertempuran sangat ganas” tercetus apabila 400 anggota polis melakukan serbuan, kata pegawai polis Emmanuel Berthier, menambah yang keganasan berlarutan selama tujuh jam sepanjang malam itu.

“Parti di Redon sudah ditamatkan,” umumnya selepas polis berjaya menyuraikan khalayak.

Polis menahan lima orang lelaki dan membuka kertas siasatan atas pertuduhan melakukan kekasaran kepada penjawat awam.

Menurut pihak berkuasa, lima anggota polis cedera dengan dua dibawa ke hospital.

Dua orang peserta konsert juga cedera, termasuk seorang lelaki berusia 22 tahun yang putus tangan.

Berthier berkata “mereka mempunyai matlamat, untuk mencabar keamanan awam.”

Katanya kepada AFP, peserta konsert juga melempar “koktail Molotov, bola besi dan batu bata.”

Seorang pegawai polis berkata menjadi kebiasaan orang awam membawa bola besi yang sering digunakan dalam sukan petanque di Perancis ke konsert.

Penganjur konsert berkata polis memilih untuk bertindak ganas berbanding berunding apabila menembak gas pemedih mata.

“Ia satu perang,” kata Flo, lelaki berusia 22 tahun yang menghadiri konsert itu.

“Tidak ada muzik dimainkan malam tadi,” tetapi “mereka yang datang ke konsert haram itu masih berada di situ,” kata polis kepada AFP pada awal Sabtu.

Pihak berkuasa tempatan mengharamkan parti itu pada Jumaat, yang diadakan dua hari sebelum perintah berkurung koronavirus dijadualkan batal kerana penurunan kes Covid-19 di Perancis.

Konsert itu asalnya diadakan untuk memperingati seorang lelaki muda yang terbunuh di bandar Nantes dua tahun lalu semasa konsert perayaan Fete de la Musique yang diraikan di seluruh negara. 

Pendakwaraya berkata Steven Maia Canico jatuh ke dalam Sungai Loire apabila polis menyerbu konsert itu.

Mayatnya ditemui lebih sebulan selepas itu dan penunjuk perasaan di Nantes menuntut “keadilan untuk Steve”, menuduh tindak balas polis keterlaluan.

Ratusan orang melanggar perintah berkurung dikuatkuasa di Perancis dengan menghadiri konsert haram diadakan di Dijon dan barat Brittany, sebelum ini polis berjaya menghalang konsert mega haram daripada diadakan di Paris. – AFP, 20 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen