Industri pelancongan di Tasik Kenyir lumpuh


Diyana Ibrahim

Tasik buatan manusia itu pernah menerima kehadiran sekurang-kurang 817,000 pelancong pada 2017 tapi kini sunyi sepi. – Gambar The Malaysian Insight, 20 Jun, 2021.

INDUSTRI pelancongan di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu kini lumpuh kesan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berterusan, kata pengusaha pelancong.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight, tasik buatan manusia itu pernah menerima kehadiran sekurang-kurang 817,000 pelancong pada 2017 tapi kini sunyi sepi.

Pengkalan Gawi, pintu masuk utama ke tasik empangan tersebut kini menjadi tempat deretan rumah bot dan bot laju tersadai.

Kelumpuhan sektor pelancongan itu seterusnya memberi kesan langsung kepada penduduk setempat yang bergantung sumber pendapatan daripada tasik semula jadi itu.

Seorang pengusaha bot laju dan kedai makan di Tasik Kenyir, Amran Abdullah, berkata tasik itu menjadi aset besar kepada penduduk Hulu Terengganu untuk menjana ekonomi.

Sekiranya ditanya, sebahagian besar penduduk kampung sekitar di sini akan menjawab mereka bekerja di Tasik Kenyir, katanya.

“Kalau orang tanya kerja dekat mana, (penduduk kampung akan jawab) kerja mesin rumput di Tasik Kenyir… Tukang sapu di Tasik Kenyir. Jadi memang majoriti sumber pendapatan di Tasik Kenyir.

“Anggaran saya dalam 70% ekonomi orang Hulu Terengganu ini bergantung di Tasik Kenyir berbanding daripada orang kerja kerajaaan atau makan gaji,” katanya.

Jelasnya, pengusaha sepertinya juga tidak meraih sebarang pendapatan dan kini hanya bertahan menggunakan wang simpanan bagi menyara keluarganya.

Oleh itu mereka amat berharap agar pergerakan rentas daerah dan negeri dibenarkan semula untuk sektor pelancongan bagi membolehkan ekonomi di negeri itu bergerak semula, kata Amran, 44.

Pengusaha pelancongan Tasik Kenyir dibenarkan beroperasi seketika sewaktu pergerakan rentas negeri dibenarkan pada Disember, namun ia tidak berupaya memulihkan perniagaan mereka.

“Lepas PKP pertama kita dapat bergerak sekejap berapa bulan dan dapatlah keuntungan sedikit. Lepas itu masuk PKP kedua mula perlahan, dan sekarang dah masuk PKP ketiga ini memang teruk.

Keadaan itu bukan hanya menyeksa golongan pekerja tetapi pengusaha perniagaan sepertinya, kata Amran.

“Ada kawan saya pengusaha rumah bot beritahu keadaan begitu terdesak, sampai makan pucuk paku saja sebab memang tak ada duit,” katanya.

Amran berkata mereka bimbang akan hilang sumber pendapatan sama sekali jika keadaan tidak dapat dipulihkan dalam tempoh lima bulan.

Pengkalan Gawi, pintu masuk utama ke tasik empangan tersebut kini menjadi tempat deretan rumah bot dan bot laju tersadai. – Gambar The Malaysian Insight, 20 Jun, 2021.

“Sebab itu kita harapkan bantuan dari kerajaan negeri atau kerajaan pusat, untuk bantu. Bukan kita kata mereka tak pernah membantu.

“Dulu ada saya pernah terima bantuan semasa PKP sebanyak RM400 untuk kedai saya.

“Cuma yang harapkan mungkin sokongan dan perhatian kepada kami yang terpaksa berdepan dengan tempoh panjang lagi,” katanya.

Pada November lalu, exco hal ehwal pelancongan Ariffin Deraman mendedahkan pengusaha pelancongan di situ kerugian melebihi RM1 juta ekoran ekoran kawalan PKP.

Ia menyebabkan seluruh tempahan rumah bot dan bot laju dibatalkan berikutan penularan Covid-19.

Seorang pengusaha rumah bot, Rizal Muslim, 37, berkata pengusaha rumah bot sepertinya rugi paling teruk kerana perlu memulangkan wang pelanggan apabila tempahan dibatalkan.

Rizal berkata biarpun tidak menanggung pinjaman bank, beban tetap dirasa kerana perlu menanggung kos penyelenggaran tinggi dan membayar gaji pekerja biarpun tidak dapat beroperasi.

Beliau kesal kerana pengusaha rumah bot terpaksa bertahan tanpa sebarang bantuan selama ini dan berharap kerajaan dapat menanggung fi dan memberi pinjaman.

“Tolonglah pertimbangkan bantuan kepada pengusaha seperti kami contoh fi perbaharui lesen itu mungkin kerajaan boleh tanggung, bagi lesen percuma.

“Kalau kerajaan negeri ada Yayasan Pembangunan Usahawan apa salahnya beri pinjaman RM10.000 tanpa faedah kepada kami sekurang-kurang boleh bantu kami untuk pusingan modal.”

Pengerusi Persatuan Pelancongan Tasik Kenyir, Zalani Endut pula tidak menolak andaian lebih banyak pengusaha akan gulung tikar jika rentas negeri masih tidak dibenarkan dalam fasa empat.

Oleh itu, beliau cuba untuk mendapatkan bantuan kepada Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah  Ketengah untuk membantu kira-kira 250 pengusaha dan pekerja pelancongan di Tasik Kenyir.

“Kita cuba mohon bantuan Ketengah untuk bantu ahli-ahli kita. Dulu kita ada dapat masa PKP pertama, dan PKP kedua dari kerajaan negeri namun bebanan dihadapi ahli kita terlalu tinggi.

“Kebanyakannya perlu berdepan dengan hutang dari pihak bank, kita tidak ada moratorium bayaran walaupun kerajaan ada umumkan tapi bank akan tetap kejar kami juga.

“Biarpun malu juga nak minta bantuan tapi tak boleh buat apa. Sekurang-kurangnya bantuan itu cukuplah untuk buat kami lepas makan,” katanya.

PKP penuh yang berkuatkuasa selama dua minggu sejak awal bulan ini dilanjutkan lagi sehingga 28 Jun dalam fasa pertama Pelan Pemulihan Negara.

Dalam fasa kedua sepanjang Julai dan Ogos, lebih banyak aktiviti ekonomi akan dibenarkan namun sektor sosial akan kekal ditutup.

Seterusnya dalam fasa ketiga September dan Oktober, sektor sosial akan dibuka secara berperingkat.

Dalam dua bulan terakhir, seluruh sektor termasuk sektor sosial akan dibuka dalam fasa empat pemulihan.

Pelaksanaan pemulihan secara berfasa itu diumumkan berdasarkan kepada penurunan kesCovid-19, keupayaan hospital dan liputan vaksinasi. – 20 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen