Tunggu tarikh sidang Parlimen daripada PM, kata Speaker Dewan Rakyat


Chan Kok Leong

Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun berkata beliau hanya menunggu Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk menetapkan tarikh persidangan Parlimen. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Jun, 2021.

YANG di-Pertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun menunggu Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk menetapkan tarikh persidangan Parlimen.

“Di bawah peraturan mesyuarat, ketua dewan perlu memaklumkan kepada saya tarikh persidangan.

“Selepas itu, Setiausaha Dewan Rakyat akan mengeluarkan notis kepada ahli parlimen,” katanya kepada The Malaysian Insight, hari ini.

Azhar menjawab pertanyaan bila Dewan Rakyat akan bersidang selepas Yang di-Pertuan Agong semalam bertitah Parlimen perlu bersidang secepat mungkin. 

Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat 11(1) dan (2) menyebut persidangan pertama setiap persidangan Parlimen yang mula-mula bagi setiap penggal diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong, sementara ketua majlis iaitu perdana menteri akan menetapkan mesyuarat berikutnya dengan notis 28 hari.

Peraturan 11(3) pula membenarkan Yang di-Pertua Dewan memutuskan tarikh yang lebih awal bagi faedah orang ramai yang mustahak. Urusan mesyuarat itu bagaimanapun ditentukan oleh perdana menteri.

Dalam kenyataan berasingan semalam, Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu menitahkan agar Parlimen bersidang segera, dan begitu juga dewan-dewan undangan negeri, untuk melaksanakan peranan semak dan imbang terhadap kerajaan.

Kenyataan dikeluarkan selepas persidangan khas Raja-Raja Melayu membincangkan keadaan semasa negara sejak perisytiharan darurat lima bulan lepas bagi membendung pandemik Covid-19.

Susulan perisytiharan darurat, Parlimen dan DUN digantung sementara pilihan raya juga ditangguhkan, sehingga tempoh darurat berakhir pada 1 Ogos ini.

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah juga pada Februari lalu pernah bertitah bahawa Parlimen boleh bersidang di tengah darurat.

Dalam pada itu, Raja-Raja Pemerintah juga sependapat tiada keperluan untuk perintah darurat dilanjutkan selepas 1 Ogos ini.

Persidangan khas Raja-Raja Melayu diadakan selepas Yang di-Pertuan Agong menerima mengadap 18 ketua parti politik untuk mendengar pandangan mereka berkenaan isu semasa.

Dewan Rakyat kali terakhir bersidang pada 14 Disember 2020, sementara Dewan Negara pada 28 Disember berikutnya.

Kelmarin, Muhyiddin mengumumkan Parlimen boleh bersidang seawal-awalnya pada September apabila pelan pemulihan negara keluar daripada pandemik memasuki fasa ketiga.

Fasa ketiga pelan pemulihan yang dijangka dapat dicapai pada hujung Ogos menetapkan kes jangkitan Covid-19 diturunkan sehingga bawah 2,000 sehari, sementara 40% penduduk sudah menerima dua dos suntikan vaksin dan sistem kesihatan awam berada di tahap selesa. – 17 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen