Pakar perubatan gesa tingkatkan kadar vaksinasi untuk capai sasaran Putrajaya


Raevathi Supramaniam

Kemampuan memvaksinasi sejumlah besar penduduk bergantung pada kemampuan dan ketersediaan vaksin, kata pakar perubatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Jun, 2021.

MALAYSIA perlu memvaksinasi 200,000 orang setiap hari, malah perlu dinaikkan kepada 300,000 dalam minggu mendatang bagi mencapai sasaran Putrajaya dalam Pelan Pemulihan Negara, kata pakar perubatan.

Setakat ini hanya sekali sahaja sasaran vaksinasi 200,000 tercapai iaitu pada semalam dengan 215,876 dos telah diberikan.

Namun para pakar berkata kepada The Malaysian Insight kebolehlaksanaan memvaksinasi sejumlah besar penduduk pada November bergantung pada banyak faktor, yang utama adalah kemampuan dan ketersediaan vaksin.

Pakar Kesihatan Awam Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Malina Osman berkata matlamat Putrajaya untuk memvaksinasi 40% penduduk pada September dan 60% pada November kelihatan realistik.

“Pada kadar vaksinasi semasa 200,000 (sehari), menjelang 1 September, sekurang-kurangnya 18 juta (56%) rakyat Malaysia akan mendapat dos pertama.

“Jika kita dapat naikkan jumlah vaksinasi hingga 300,000 sehari dari bulan Julai, ikut kiraan saya, kita dapat capai kadar vaksinasi yang disasarkan,” kata Dr Malina kepada The Malaysian Insight.

Dalam ucapannya semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata kapasiti vaksinasi akan ditingkatkan menjadi 300,000 dos setiap hari dalam beberapa bulan mendatang untuk mencapai sasaran vaksinasi.

Pada kadar semasa vaksinasi 200,000 dos sehari, Malaysia memerlukan 64 hari untuk memberikan dos pertama kepada 40% penduduk (12.8 juta orang) pada pertengahan September.

Bagi 60% (19.2 juta orang) penduduk untuk menerima dos pertama, memerlukan 96 hari, yang boleh dicapai pada pertengahan Oktober. Ia hanya mampu memberikan kedua-dua dos dalam jangka masa sama jika kadar vaksinasi harian meningkat.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Malaysia, Dr Zainal Ariffin Omar bersetuju dengan Dr Malina bahawa tujuan vaksinasi dapat dicapai, tetapi bergantung pada jumlah dan bekalan vaksin.

“Yang paling penting adalah bekalan mencukupi dan dengan penambahan vaksin dos tunggal baharu (ia dapat dicapai),” katanya.

Semalam, Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) telah bersetuju memberikan kelulusan bersyarat untuk dua vaksin dos tunggal dari Convidecia Recombinant Novel Coronavirus Vaccine (Adenovirus Type 5 Vector), keluaran CanSino Biologics Inc, China, dan Janssen Covid-19 Vaccine keluaran Johnson & Johnson. Ini dapat mempercepat usaha vaksinasi.

Malaysia buat masa ini hanya memberikan vaksin PfiZer-BioNTech, Sinovac dan AstraZeneca sebagai sebahagian daripada program imunisasi kebangsaan. Ia telah memesan bekalan yang mencukupi untuk memberi vaksin kepada 105.56% penduduk.

Bagaimanapun, penghantaran vaksin masih sangat perlahan.

Setakat 11 Jun, hanya 8.3% daripada 44.8 juta dos vaksin Pfizer telah dihantar. Sinovac pula, hanya 25.89% daripada 12 juta dos telah dihantar manakala untuk AstraZeneca, melalui kemudahan Covax, Malaysia menerima 12.94% daripada 6.4 juta dos yang dipesan.

Selebihnya 6.4 juta dos dari kilang AstraZeneca Thailand telah ditangguhkan.

Dr Zainal berkata, kerajaan perlu menyusun rancangan tindakan terperinci agar pelan pemulihan dapat bergerak maju.

“(Kita) harus mengkaji semula pelan semasa dan strategi. Ini termasuk cara vaksinasi dan saluran penyampaian melalui agensi kerajaan lain, pertubuhan bukan kerajaan, sektor swasta dan lain-lain. (Kita juga) perlu menggerakkan semua sektor dan masyarakat,” katanya.

Bagi menambah jumlah pendaftaran vaksin, Zainal berkata Putrajaya perlu mula memberi vaksin kepada kanak-kanak berumur 12 tahun ke atas selain mereka yang berumur 18 tahun ke atas, sejajar dengan keputusan PBKD untuk membenarkan kanak-kanak berumur 12 tahun ke atas menerima vaksin Pfizer-BioNTech.

Zainal juga mencadangkan sistem pendaftaran dan pemantauan kesan buruk (kesan sampingan vaksin) diperbaiki agar pelan pemulihan dapat bergerak lancar.

Malaysia memulakan program imunisasi kebangsaannya pada Februari tahun ini. Dalam lima bulan, ia telah memberi vaksin kepada 4,904,109 orang (setakat 15 Jun). Hanya 1,468,689 telah menerima lengkap menerima dua dos vaksin.

Ini membangkitkan persoalan adakah pelan kerajaan memvaksinasi hampir 20 juta orang dalam bulan mendatang dapat dicapai.

Setakat jam 2 petang hari ini, 13,837,410 individu berumur 18 tahun ke atas telah mendaftar untuk menerima vaksin. – 16 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen