Muhyiddin umum 4 fasa pelan pemulihan Covid-19 


Chan Kok Leong

Pelan Pemulihan Negara dijangka akan melonggaran sekatan pergerakan yang dilaksanakan bagi membendung penularan Covid-19.– Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Jun, 2021.

SEKATAN pergerakan penuh sekarang akan dilonggarkan secara berperingkat mengikut empat fasa di bawah Pelan Pemulihan Negara keluar dari pandemik Covid-19, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Beliau mengumumkan empat fasa pelan itu dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung melalui televisyen petang ini.

Fasa pelan pemulihan ini bergantung kepada tiga indikator utama iaitu jumlah kes harian Covid-19; keupayaan sistem kesihatan awam berdasarkan kadar penggunaan katil di Wad ICU; dan tahap populasi yang dilindungi berdasarkan peratusan yang telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.

Empat fasa pelan pemulihan itu merangkumi:

Fasa 1 atau sekatan pergerakan penuh, yang mana fasa ini sedang berkuatkuasa di Malaysia. 

Kes Covid-19 harian tetap tinggi dan sistem penjagaan kesihatan berada pada kapasiti penuh. Kadar vaksinasi juga masih rendah.

Fasa 2 akan bermula apabila jumlah kes baharu jangkitan Covid-19 turun di bawah 4,000.

Sistem penjagaan kesihatan juga tidak boleh berada pada tahap kritikal, dan 10% daripada populasi mesti mendapat dua dos vaksin Covid-19.

“Di bawah Fasa 2, aktiviti ekonomi akan dibuka secara berperingkat dengan membenarkan kapasiti pekerja sehingga 80% di premis.

“Bagaimanapun aktiviti sosial dan rentas negeri masih tidak dibenarkan,” kata Muhyiddin.

Fasa 3 akan bermula apabila purata jumlah kes jangkitan baharu Covid-19 turun di bawah 2,000 setiap hari.

Sistem kesihatan awam berada di tahap selesa dengan penurunan kadar penggunaan katil di ICU ke paras mencukupi.

40 peratus populasi negara ini telah menerima dua dos suntikan vaksin.

“Nilai ambang ini dijangka dapat dicapai paling awal pada akhir bulan Ogos 2021,” kata Muhyiddin.

Di bawah Fasa 3, semua sektor ekonomi akan dibenarkan beroperasi kecuali aktiviti yang tersenarai dalam senarai negatif, iaitu aktiviti yang berisiko tinggi menyebabkan jangkitan Covid-19 atau melibatkan keramaian dan sektor ekonomi akan kekal dibenarkan beroperasi pada kapasiti 80%.

“Kelonggaran kepada had kapasiti akan dipertimbangkan untuk membolehkan syarikat beroperasi sepenuhnya setelah pekerjanya telah divaksinasi,” tambah Muhyiddin.

Muhyiddin berkata aktiviti sosial termasuk pendidikan dan sukan juga akan dibenarkan secara berperingkat.

Fasa 4 boleh bermula apabila kes harian Covid-19 di bawah 500 dan sekurang-kurangnya 60% populasi menerima vaksin penuh.

Muhyiddin berkata kerajaan menyasarkan untuk memulakan Fasa 4 selepas Oktober, sebaik sahaja semua indikator dicapai.

Daam fasa terakhir ini, semua sektor ekonomi akan dibenarkan, manakala aktiviti sosial, perjalanan retas negeri dan pelancongan domestik dibenarkan di bawah SOP yang ketat.

Perdana menteri menambah, pelan ini juga merupakan pelan dinamik dan bergantung kepada tiga indikator utama.

Katanya butiran lanjut mengenai SOP bagi setiap fasa akan dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara. – 15 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen