2 vaksin baharu diluluskan, Pfizer untuk kanak-kanak, kata KKM


PIHAK Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) telah bersetuju memberikan kelulusan untuk dua vaksin Covid-19 baharu bagi tujuan kecemasan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Satu lagi keputusan dibuat adalah membenarkan kanak-kanak berumur 12 tahun ke atas menerima vaksin Pfizer-BioNTech, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dua vaksin dengan persetujuan bersyarat itu adalah Convidecia Recombinant Novel Coronavirus Vaccine (Adenovirus Type 5 Vector), keluaran CanSino Biologics Inc, China, dan Janssen Covid-19 Vaccine keluaran Johnson & Johnson.

Kedua-dua vaksin tersebut adalah jenis suntikan tunggal.

Dr Noor Hisham berkata, persetujuan bersyarat Malaysia untuk vaksin Janssen dibuat sejajar dengan keputusan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang memberi kelulusan Penyenaraian Penggunaan Kecemasan (Emergency Use Listing atau EUL).

“Pendaftaran Janssen Covid-19 Vaccine yang diperolehi oleh kerajaan Malaysia melalui fasiliti Covax ini dilaksanakan melalui mekanisme perakuan (recognition) ke atas kelulusan WHO EU,” katanya.

Selain itu, PBKD turut meluluskan penggunaan vaksin Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech kepada golongan yang berumur 12 tahun dan ke atas, dalam mesyuarat hari ini.

Sebelum ini, pada 8 januari, Comirnaty diberi kelulusan bersyarat untuk imunisasi orang dewasa berumur 18 tahun ke atas.

Dr Noor Hisham berkata, kelulusan pendaftaran bersyarat ini memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk vaksin tersebut dipantau dan dinilai berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa. Ia bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko (benefit over risk) bagi produk-produk vaksin tersebut kekal positif.

KKM akan memberi keutamaan pemberian vaksin kepada kumpulan berisiko tinggi selaras dengan dasar sedia ada yang ditetapkan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“KKM akan sentiasa mempertingkatkan tahap kesihatan awam dalam memerangi wabak COVID-19 melalui perolehan bekalan vaksin yang telah dinilai daripada aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan diluluskan oleh PBKD,” katanya.

Tambahnya, Kerajaan juga komited untuk memastikan penduduk Malaysia mencapai imuniti kelompok selaras dengan sasaran PICK. – 15 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen