UNHCR sedia kongsi maklumat pelarian untuk suntikan vaksin


Elill Easwaran

UNHCR bersedia memainkan peranan dalam memastikan semua pelarian dan pencari suaka di negara ini diberi vaksin Covd-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Jun, 2021.

AGENSI pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan berkongsi maklumat mengenai komuniti itu bagi tujuan vaksinasi Covid-19 tetapi mahu jaminan daripada kerajaan yang mereka tidak akan ditangkap.

Pegawai kesihatan awam bagi Suruhanjaya Tinggi PBB untuk Pelarian (UNHCR) Dr Susheela Balasundaram berkata agensi itu bersedia memainkan peranan dalam memastikan semua pelarian dan pencari suaka diberi vaksin bagi koronavirus.

“UNHCR mencadangkan dengan kerajaan Malaysia agar tidak menangkap dan menahan pelarian dan pencari suaka, termasuk mereka yang memiliki dokumen UNHCR yang sudah habis tempoh,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata ini merujuk kepada gesaan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin agar agensi menyerahkan senarai dan maklumat mengenai pelarian di negara ini bagi tujuan vaksinasi Covid-19.

Hamzah berkata pada masa ini, terdapat 178,715 pemegang kad UNHCR tetapi tiada maklumat lebih lanjut mengenai lokasi mereka berada.

“Jika UNHCR dapat memberikan kami maklumat terperinci, ini akan memudahkan usaha kerajaan mencapai imuniti kelompok bagi mengekang penyebaran Covid-19 di negara ini,” katanya minggu lalu.

Hamzah dikritik hebat kerana terus melakukan tindakan keras terhadap pendatang tanpa dokumen (termasuk pelarian) semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) dari 1 hingga 28 Jun.

Ia bertentangan dengan kenyataan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin, yang sebelum ini berkata pendatang tidak akan diburu dan memberi jaminan mereka tidak akan ditangkap ketika datang untuk mengambil suntikan vaksin.

Bagaimanapun, Hamzah berkata tindakannya menahan pendatang tanpa dokumen ketika PKP bertujuan membantu mereka mendapatkan vaksin Covid-19.

Beliau juga berkata kementerian sudah mengenal pasti hampir 2.5 juta orang warga asing di negara ini yang mempunyai pelbagai dokumen dikeluarkan oleh kerajaan atau pihak ketiga seperti UNHCR, termasuk banduan dan tahanan Imigresen, bagi tujuan vaksinasi Covid-19.

Susheela juga berkata UNHCR akan membantu usaha vaksinasi dengan menghubungi pelarian dan pencari suaka.

“UNHCR bersedia membantu menghubungi komuniti pelarian dan pencari suaka, termasuk melalui usaha komunikasi yang relevan dan penglibatan komuniti,” katanya.

Beliau berkata UNHCR sudah memberikan bantuan kepada kerajaan dalam menterjemahkan poster maklumat vaksin dan fail audio ke dalam 11 bahasa yang biasa digunakan oleh pelarian.

“UNHCR juga secara aktif terlibat dalam merancang mesyuarat mengenai pelaksanaan program imunisasi yang dipimpin oleh kerajaan, terutama yang melibatkan pelarian dan pencari suaka.”

Beliau berkata agensi itu juga berkongsi dengan kerajaan data yang relevan mengenai populasi pelarian.

“Ini termasuk berkongsi dengan pelbagai kementerian, termasuk Kementerian Luar Negeri dan Kementerian Kesihatan, pelbagai jabatan kesihatan negeri, dan Pusat Kesiapsiagaan dan Respons Krisis (CPRC),” katanya.

Beliau juga menggesa pelarian mendaftar melalui aplikasi MySejahtera agar mereka dapat dipanggil untuk menerima suntikan vaksin.

Katanya, pelarian tidak dapat ke UNHCR dalam beberapa hari ini kerana sekatan pergerakan susulan PKP. – 15 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen