Arab Saudi benarkan 60,000 penduduk tunaikan haji


Arab Saudi mengumumkan hanya akan membenarkan 60,000 penduduk negara itu yang sudah diberi vaksin untuk menunaikan haji tahun ini. – Gambar EPA, 14 Jun, 2021.

ARAB Saudi pada Sabtu mengumumkan akan membenarkan 60,000 penduduk negara itu yang sudah diberi vaksin untuk menunaikan haji, lapor media kerajaan.

Menurut kementerian haji yang dipetik oleh Saudi Press Agency berkata, tahun ini akan dibuka untuk warganegara dan penduduk negara lain yang berada di negara itu, dan terhad untuk 60,000 sahaja.

Kebenaran itu terhad kepada mereka yang sudah menerima vaksin dan berusia antara 18 hingga 65 tahun tanpa penyakit kronik, katanya.

Pada tahun lalu, hanya 10,000 umat Islam menunaikan haji berbanding 2.5 juta yang menunaikan haji selama lima hari pada 2019 sebelum wabak bermula.

“Melihat pada apa yang berlaku di seluruh dunia akibat pandemik koronavirus, dan munculnya varian baharu, pihak berkuasa terus memantau kesihatan global,” katanya.

Arab Saudi berkata, mereka yang mahu menunaikan haji perlu membuat permohonan secara dalam talian.

Kerajaan negara itu bagaimanapun tidak menyatakan berapa ramai penduduk warga asing yang akan dibenarkan menunaikan haji dalam kalangan 60,000 jemaah berkenaan.

Pada 2020, warga asing merupakan 70 peratus daripada jemaah, sementara yang lain adalah penduduk Arab Saudi.

Kerajaan itu berkata, mereka sudah memaklumkan kepada negara lain berkenaan keputusan melarang kemasukan jemaah haji dari negara luar.

Arab Saudi sehingga hari ini mencatatkan lebih 460,000 jangkitan koronavirus termasuk 7,537 kematian.

Lebih daripada 15 juta dos vaksin koronavirus sudah diberikan di negara yang mempunyai jumlah penduduk lebih 34 juta orang. – AFP, 14 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen