Tidak perlu tubuh Majlis Pemulihan Negara, kata penganalisis


Alfian Z.M. Tahir Diyana Ibrahim

Malaysia masih ada Kabinet yang boleh berfungsi dan tidak perlu tubuhkan Majlis Pemulihan Negara untuk tangani isu akibat Covid-19, kata penganalisis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Jun, 2021.

CADANGAN Dr Mahathir Mohamad untuk menubuhkan Majlis Pemulihan Negara untuk menangani isu dihadapi negara akibat pandemik Covid-19 tidak logik, kata penganalisis.

Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia Sharifah Munirah Syed Alatas antara yang menolak cadangan itu dan berpendapat Malaysia masih ada Kabinet yang boleh berfungsi.

Beliau memberitahu The Malaysian Insight, keadaan pada masa ini tidak seperti pada 1969 apabila Majlis Gerakan Negara (Mageran) diwujudkan sewaktu kerajaan masih belum dibentuk.

“Tidak perlu wujudkannya dalam situasi kita sekarang. Mageran pada 1969 dibentuk dalam keadaan berbeza. Ketika itu kita mengalami krisis perkauman, selepas pilihan raya umum.

“Sedangkan hari ini, kita menghadapi pelbagai masalah yang ditimbulkan oleh wabak. Kita masih mempunyai Kabinet dan kerajaan yang berfungsi. Pada 1969, Kabinet dan kerajaan masih belum terbentuk.

“Rusuhan kaum 13 Mei 1969 memerlukan pemulihan yang cepat untuk menamatkan keadaan berbahaya dan ancaman keganasan,” katanya.

Jelasnya, Mageran dibentuk pada masa itu dengan tujuan memulihkan sosio-ekonomi negara yang berdepan isu pergeseran kaum, tekanan ekonomi, dan persoalan status ekonomi kaum Bumiputera. 

Tambahnya, Mageran seterusnya menubuhkan Majlis Perundingan Negara yang kemudiannya mewujudkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk menyelamatkan semua etnik dari kemiskinan.

DEB juga bertujuan memberi kelestarian ekonomi kepada golongan miskin manaka Mageran bertujuan mewujudkan kestabilan dan perdamaian antara kaum Melayu dan Cina.

“Negara ini hancur. Waktu itu betul-betul selepas pilihan raya umum dan belum ada Kabinet dibentuk, tetapi negara menghadapi cabaran ekonomi yang besar, keselamatan, keganasan kaum dan kemiskinan.

“Pada waktu itu keadaan sangat berbahaya.

“Jadi, saya tidak melihat positif atau logik untuk membuat Mageran sekarang apabila keadaannya sama sekali berbeza,” kata pensyarah kanan kajian strategik itu.

Beliau melihat saranan menubuhkan Majlis Pemulihan Negara bermotifkan politik semata-mata yang hanya menguntungkan pihak yang mencadang dan yang ingin mengetuainya.

Penganalisis berkata cadangan Dr Mahathir Mohamad menubuhkan Majlis Pemulihan Negara untuk menangani isu dihadapi negara akibat pandemik Covid-19 tidak logik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Jun, 2021.

Tegasnya, majlis seperti itu tidak diperlukan walaupun kerajaan pada masa ini bukan pilihan rakyat kerana kerajaan dan Kabinet berfungsi pada masa ini.

Pensyarah Universiti Utara Malaysia Prof Ahmad Martadha Mohamed juga senada dan berpendapat mekanisme sedia ada untuk menangani virus dan mengurus negara boleh ditambah baik.

“Kita memiliki mekanisme yang hanya perlu ditambah baik, mengapa kita memerlukan Mageran. Ia tidak perlu.”

“Apa yang kita ada sudah cukup baik. Malah pembentukan Mageran juga tidak menjamin apa-apa,” tambahnya.

Dr Mahathir yang merupakan pengerusi penaja Pejuang mencadangkan penubuhan Majlis Pemulihan Negara sewaktu menghadap Yang di-Pertuan Agong pada Khamis.

Beliau hari ini menjelaskan, majlis tersebut tidak akan menggantikan kerajaan tetapi hanya akan menangani empat perkara utama – kesihatan, ekonomi, politik dan krisis sosial.

Katanya, majlis itu hanya perlu berfungsi sehingga Malaysia mencapai imuniti kelompok atau sebelum pilihan raya umum akan datang.

Majlis itu pula hanya akan melaporkan terus kepada Yang di-Pertuan Agong dan pada masa sama Parlimen akan dibenar bersidang.

Jelas Dr Mahathir, ia bertujuan memastikan tindakan dan keputusan untuk membantu rakyat dan dilaksana segera tanpa hanyak halangan birokrasi.

Cadangan berkenaan ditolak sekutunya dalam Pakatan Harapan dan juga oleh Umno yang mahu darurat ditamatkan segera.

Rancangan pembentukan majlis itu didedahkan ketua setiausaha sulit perdana menteri, Marzuki Mohamad yang menyelar usaha berkenaan.

Menurut Marzuki, ia akan menghalang usaha kerajaan menangani krisi dihadapi negara.

Dr Mahathir kemudian pada Khamis mengesahkan rancangan itu dikemukakan sewaktu beliau menghadap Yang di-Pertuan Agong pada Khamis.

Perintah darurat yang berkuatkuasa bermula 11 Januari untuk menangani pandemik akan berakhir pada 1 Ogos.

Dalam tempoh ini, Parlimen dan Dewan Undangan Negeri tidak dibenarkan bersidang.

Sementara itu, pengarah program Iman Research, Badrul Hisham Ismail pula masih sangsi jika idea dikemukakan Dr Mahathir itu sama dengan Mageran yang dibentuk pada tahun 1969.

“Sekiranya beliau mencadangkan Mageran versi 1969, maka kita harus menolaknya. Situasi sekarang dan dahulu sama sekali berbeza,” kata Badrul.

Badrul menambah majlis seperti Mageran tidak diperlukan untuk memerangi wabak tetapi negara memerlukan kerajaan yang lebih telus dalam pemerintahan.

“Walaupun kita mempunyai Mageran baru tetapi mereka yang bertanggungjawab menangani perkara itu tidak cekap, maka tidak ada gunanya,” katanya.

Pensyarah Universiti Sunway Wong Chin Huat pula berkata, badan tambahan yang dicadangkan Dr Mahathir itu hanya akan memburukkan lagi keadaan.

Ini kerana majlis seperti Mageran akan membolehkan kuasa dipindahkan kepada pegawai yang tidak terpilih seperti ketua tentera, polis dan penjawat awam. 

“Ini idea yang berbahaya. Sekiranya ia melakukan kesilapan, kemarahan orang ramai boleh berubah terhadap perkhidmatan awam, pasukan keselamatan dan bahkan monarki,” katanya yang juga seorang aktivis.

Prof Dr Awang Azman Awang Pawi pula melihat cadangan pembentukan majlis itu sebagai satu cubaan Mahathir untuk kembali berkuasa dan menyekat pengaruh Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Jelasnya pelaksanaan itu menutup ruang untuk membentuk kerajaan peralihan selepas darurat dijangka tamat pada Ogos.

“Sepatutnya sebuah pembentukan kerajaan lebih stabil perlu ada selepas darurat tamat seawal Ogos dan melibatkan pelbagai parti sebagai kerajaan peralihan sehingga penggal parlimen tamat 2023.” – 13 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen