Idea Hamzah pelik dan perlu ditolak sepenuhnya, kata Kit Siang


Lim Kit Siang berkata idea pelik Hamzah Zainuddin bahawa Parlimen hanya akan bersidang selepas imuniti kelompok dicapai perlu dipandang serius. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Jun, 2021.

MALAYSIA akan menjadi negara pertama di dunia yang Parlimennya hanya boleh bersidang apabila negara sudah mencapai imuniti kelompok melawan Covid-19 jika idea Hamzah Zainuddin tidak ditolak sepenuhnya, kata Lim Kit Siang.

“Ini bercanggah dengan semua amalan antarabangsa, samada Kongres di Amerika Syarikat, Parlimen UK dan Lok Sabha di India mahupun Diet di Jepun, kerana tidak ada Parlimen di dunia yang mengaitkan soal persidangan dengan persoalan samada imuniti kelompok melawan Covid-19 (sudah) dicapai (atau belum) di negara!”

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata tidak ada sesiapa yang mengetahui bilakah imuniti kelompok melawan Covid-19 dapat dicapai.

Menteri Undang-Undang Takiyuddin Hassan sebelum ini sudah mencadangkan pelaksanaan Parlimen hibrid, malah Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun dan Speaker Dewan Negara Rais Yatim juga dilaporkan berkata mereka sedang mengkaji cadangan itu.

Kata Lim lagi, tetapi apabila Hamzah mengulangi ideanya semalam bahawa Parlimen hanya boleh bersidang apabila imuniti kelompok dicapai, ia bukan sahaja menghina Takiyuddin, tetapi juga semua kepimpinan Dewan Rakyat dan Negara.

Tambahnya, beliau menjangkakan Kabinet Muhyiddin yang ramai itu akan menolak idea pelik Hamzah, tetapi apabila ia diulangi semalam, wujud keterdesakan supaya pandangan Hamzah dipandang serius.

“Dapatkan Hamzah memaksakan niatnya ke atas Kabinet Muhyiddin yang Parlimen hanya boleh bersidang apabila imuniti kelompok melawan koronavirus dicapai?” soal Lim.

Wakil rakyat veteran DAP itu berkata walaupun kerajaan meluahkan keyakinan yang imuniti kelompok dapat dicapai pada hujung tahun ini, Putrajaya sehingga kini tidak mendedahkan jangka masa serta perincian proses bagaimana ia dapat dicapai.

“Apabila Muhyiddin atau Khairy Jamaluddin bercakap tentang mencapai imuniti kelompok, mereka merujuk kepada vaksinisasi 80% orang dewasa yang sama sekali berbeza dengan 80% jumlah penduduk.

“Pada masa sekarang, Program Imunisasi Kebangsaan (PICK) hanya bermatlamat untuk vaksinisasi penduduk berusia 18 tahun ke atas. Tetapi kategori ini hanya mewakili 65% jumlah penduduk.

“Ini bermakna sekalipun (dan ini kemungkinan yang sukar dipenuhi) kita mencapai 80% orang dewasa (divaksin), ia hanya mewakili 52% jumlah penduduk- masih sangat jauh daripada 80% penduduk diperlukan untuk mencapai imuniti kelompok melawan Covid-19,” kata Lim.

“Saya mengesyaki inilah sebabnya mengapa Muhyiddin dan Khairy tidak bersedia mendedahkan jangka masa kerajaan untuk mencapai imuniti kelompok melawan Covid-19, kerana tiada siapa tahu samada kita akan mencapai kadar vaksinisasi 80% penduduk Malaysia – yang berbeza dengan 80% penduduk berusia 18 tahun ke atas.” – 12 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen