Negaraku Malaysia: Ke mana arah kita?


DI kala rakyat Malaysia gusar dengan kes Covid-19 yang tinggi dan bilangan kes kematian yang semakin membimbangkan, ramai yang mula mempersoalkan ketegasan kerajaan dalam konteks darurat pada masa kini.

Pelbagai kritikan mengenai usaha kerajaan dalam menangani pandemik ini hangat diperdebatkan di platform media sosial. Walaupun ada usaha kerajaan melalui pelbagai agensi untuk menjawab dan mengemukakan fakta bagi menyangkal kritikan ini tetapi ia bercanggah antara satu sama lain.

Ketika seluruh dunia sedang dilanda pandemik, peranan kerajaan semakin sukar dan mencabar. Masalah utama adalah kecenderungan agensi kerajaan untuk bertindak lambat berkongsi maklumat.

Setiap kementerian dan agensi harus sama-sama berganding bahu berkongsi maklumat sesama sendiri dan juga kepada orang awam bagi mempertahankan usaha kerajaan dan hala tuju negara.

Akses kepada maklumat akan membantu usaha kerajaan berkait pandemik dan yang paling penting, hala tuju sosio-ekonomi negara pasca Covid-19 apabila mendapat input bernas dari pihak intelektual, industri dan pihak awam umumnya.

Justeru, isu akses kepada maklumat ini membawa kepada pelbagai kritikan sehingga menimbulkan defisit kepercayaan orang ramai terhadap kerajaan masa kini yang dilihat tidak dapat menenangkan rakyat dan menyampaikan pelan tindakan kerajaan secara efisien dan memuaskan.

Rata-rata ahli politik juga kurang berperanan memperjuangkan hak orang ramai dalam perwakilan mereka. Ketiadaan akses kepada wakil rakyat menghindarkan orang ramai untuk menyuarakan pandangan secara konstruktif. Sudah tentu hal ini juga berpunca daripada parlimen yang tidak berfungsi.

Dalam satu suasana kegawatan politik sebegini ahli politik seharusnya memainkan peranan yang lebih besar, harus lebih aktif dan sentiasa di padang memperbaiki keadaan dan berkongsi maklumat serta mendapatkan sokongan media bagi memperjelaskan keadaan. Platform media sosial masing-masing juga boleh dijadikan saluran maklumat yang terkini.

Kerajaan kini dilihat jarang berkomunikasi dengan rakyat dan dasar sedia ada tidak tegas dan telus  serta “berbolak-balik” sehingga menimbulkan kekeliruan dan kemarahan rakyat. Hal ini mesti diatasi segera.

Kerajaan mesti dilihat serius dalam apa jua dasar yang dikemukakan. Juga mesti dilihat sebagai cekap dan bersih. Tidak selektif, adil dan saksama dalam memperjuangkan hak rakyat dan bukan hak diri.

Kita mempunyai kabinet yang terbesar dalam sejarah politik Malaysia yang terdiri daripada 72 menteri dan timbalan menteri. Mereka ini sepatutnya berada di lapangan bagi mencadangkan intervensi sebagai jalan penyelesaian masalah.

Mengapa mereka tidak responsif dalam masa krisis? Kenapa enggan berkomunikasi dengan orang ramai?

Jalan penyelesaian

Bagaimana kerajaan boleh berfungsi dengan baik dan mengubah segera keadaan masa kini?

Parlimen harus bersidang segera. Di sinilah cadangan polisi dapat diperdebatkan.

Pihak kerajaan harus melibatkan pakar yang berkelayakan dan berpengalaman. Negara kita mempunyai pakar dalam pelbagai bidang dan mereka dapat membantu mencari jalan penyelesaian yang baik bagi masalah yang menghimpit Malaysia kini.

Maklum balas orang ramai harus diambilkira bagi memperbaiki keadaan yang semakin genting ini.

Baik sekiranya dapat dikaji semula struktur kerajaan sedia ada untuk menjadikannya lebih efisien dalam menangani isu kritikal masa kini.

Justeru, penting bagi pihak kerajaan mendapatkan kerjasama syarikat berkait kerajaan (GLCs), badan berkanun dan agensi ekonomi yang berkaitan dengan lebih tersusun dan efisien untuk menangani krisis ekonomi yang timbul akibat pandemik ini. Hal ini telah dilaksanakan dengan baik pada bulan Mac tahun lepas semasa PKP pertama.

Pihak birokrat juga boleh memain peranan dan melibatkan para akademik bagi membantu melaksanakan kajian ke atas isu-isu terkini supaya polisi awam yang berkesan dapat segera diumumkan dan dilaksanakan sehingga ke peringkat akar umbi.

Dalam keadaan darurat dan pandemik Covid-19 yang disertai dengan  penyebaran berita palsu secara berleluasa, rakyat memerlukan pemimpin yang tegas, cekap dan amanah. Menyediakan satu saluran komunikasi yang cekap dan responsif. Ini termasuk akses kepada maklumat.

Apabila wujud kepercayaan dan keyakinan kepada pemerintahan dan pemimpin negara, rakyat dapat bersama-sama berganding bahu mewujudkan kemakmuran bersama.

Semua pihak di Malaysia perlu untuk  bersama dengan kerajaan untuk memerangi wabak ini. Kerajaan harus menggerakkan semua sumber yang ada untuk melakukannya dan bertindak secepat mungkin dengan penuh yakin. – 10 Jun, 2021.

* Shakila Yacob, pengarah eksekutif Institut Antarabangsa Polisi Awam dan Pengurusan, Universiti Malaya.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen