SOP celaru boleh jejas sokongan Perikatan, kata pemimpin parti, penganalisis


Mohd Farhan Darwis

Polis memeriksa dokumen kebenaran perjalanan pemandu pada sekatan jalan raya di Petaling Jaya ketika PKP 3.0 bermula pada 1 Jun. – Gambar EPA, 10 Jun, 2021.

KECELARUAN keputusan Putrajaya mengenai prosedur operasi standard (SOP) semasa sekatan pergerakan penuh boleh menjejaskan kepercayaan rakyat kepada kerajaan Muhyiddin Yassin dan Perikatan Nasional (PN) serta seterusnya Umno yang menyokongnya, kata pemimpin parti dan penganalisis politik.

Sikap menteri Kabinet Muhyiddin yang dilihat membawa ke luar perselisihan pandangan mengenai SOP yang mengelirukan itu juga boleh mengeruhkan keadaan dan seterusnya merugikan semua pihak dalam kerajaan, kata seorang pemimpin Bersatu.

Exco Pemuda Umno Malaysia Bastien Onn berkata rakyat melihat kerajaan tidak berupaya mengharmonikan keputusan yang dibuat dalam mesyuarat Kabinet.

“Rakyat lihat ada perbezaan pendapat. Jadi pada mata mereka seolah-olah ikatan kerajaan yang berdiri pada hari ini dalam keadaan yang longgar,” katanya.

Bastien mengulas kecelaruan yang timbul pada peringkat awal pelaksanaan sekatan pergerakan penuh bermula 1 Jun lalu, yang menutup sektor ekonomi dan perkhidmatan tidak perlu.

Menteri kanan keselamatan Ismail Sabri Yaakob pada mulanya mengumumkan penutupan penuh kecuali 17 sektor ekonomi.

Namun, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang diketuai Mohamed Azmin Ali bagaimanapun meluluskan operasi beberapa syarikat dan perniagaan yang bukan keperluan asas sepanjang tempoh penutupan penuh, setakat ini sehingga 14 Jun.

Antara yang dibantah ketika itu adalah kebenaran beroperasi yang diberikan oleh MITI kepada kilang arak. Ismail Sabri pada 1 Jun itu juga mengumumkan arahan tutup kepada semua kilang memproses arak sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh.

Keesokan harinya, naib presiden Umno itu memuat naik sekeping gambar beliau di hadapan pintu pejabatnya yang diiringi kapsyen: “Saya dah tutup pintu depan tapi…”

Banyak pihak mentafsir Ismail Sabri menyindir pihak tertentu yang dilihat tidak membantu usaha untuk mengekang penularan jangkitan Covid-19 yang hendak memaksa orang duduk di rumah.

Sumber memberitahu ada pertikaian dan ketegangan antara dua menteri itu dalam satu mesyuarat bersama perdana menteri, yang berpunca daripada kegagalan salah satu pihak untuk bersepakat lebih awal sehingga menyebabkan keadaan jadi celaru apabila keputusan kemudiannya dibatal dan ditukar.

Bastien khuatir tindak tanduk kerajaan PN yang menghakis keyakinan rakyat akan menjejaskan Umno kerana parti itu sebahagian daripada kerajaan hari ini.

“Umno kena memisahkan diri daripada membuat keputusan yang dirasakan tidak popular sebab ia akan terpalit kepada Umno,” katanya.

Patut sudah selesai

Sementara itu, anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Dr Muhammad Faiz Na’aman bagaimanapun melihat Ismail Sabri sengaja mencetuskan persoalan dengan sindirannya itu.

Isu itu sepatutnya sudah selesai apabila Ismail Sabri mengarahkan penutupan kilang arak sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh, katanya.

“Kalau dalam mesyuarat Kabinet, tak perlu semua perkara nak cerita kepada orang luar, jika wujud pertikaian atau apa saja, itu normal dalam mesyuarat. Tapi selepas mesyuarat umumkan keputusan, kita pegang benda (keputusan) itulah.

“Ismail Sabri sudah buat keputusan tapi kemudian tulis begitu (di media sosial). Ia beri ruang orang timbulkan spekulasi.

“Ia beri kesan kepada imej kerajaan tapi sejauh mana kesannya… besar atau kecil belum dapat pasti bagaimana nak nilaikan,” katanya.

Beliau menegaskan akan ada pihak yang cuba mengambil kesempatan menyiram minyak ke dalam api dan seterusnya menjejaskan imej PN pada mata rakyat.

“Mungkin bila ada usaha pihak tertentu menangguk di air keruh, buat petisyen desak Azmin letak jawatan, maka pada waktu sama memberi impak kepada imej menteri, kementerian, dan kerajaan yang diwakili.

“Kerajaan ambil keputusan akhir, kilang arak ditutup, tiada pertikaian, tapi kenapa Ismail Sabri keluar kenyataan yang boleh timbulkan spekulasi lagi?

“Nak ‘bergomol’ dalam mesyuarat itu normal, bila dah umum sudahlah, tak payah sindir-sindir.

“Itu yang timbulkan masalah,” tambahnya, yang menyifatkan pertikaian dalam proses membuat keputusan sebagai perkara biasa.

Kecaman demi kecaman mula membanjiri media sosial terhadap Azmin termasuk satu kempen petisyan dalam talian mendesak beliau letak jawatan atas kacau bilau yang berlaku dalam pengurusan pandemik Covid-19. Petisyen itu sehingga semalam sudah meraih lebih 233,000 sokongan.

Kecaman membanjiri media sosial terhadap Azmin Ali termasuk kempen petisyan mendesak beliau letak jawatan atas kacau bilau yang berlaku dalam pengurusan pandemik Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Jun, 2021.

Siapa lebih terkesan?

Dalam pada itu, penganalisis politik dari Universiti Malaya Awang Azman Awang Pawi  melihat isu itu akan lebih memberi kesan kepada Ismail Sabri dan Azmin.

Bagaimanapun ia tidak akan sampai menjejaskan Ismail Sabri di kawasan parlimennya Bera, yang beliau wakili sejak kerusi itu dipertandingkan buat pertama kali pada pilihan raya umum 2004.

“Pengundi lihat Ismail Sabri sebagai menteri kanan dan ada peruntukan besar sebagai menteri terhadap kawasan, jadi di kawasan sendiri beliau kurang terjejas.

“Tetapi ia akan menjejaskan imej Umno yang dilihat tidak dapat urus isu SOP dengan lebih tegas, tetap dan konsisten,” katanya.

Azmin pula pada pendapatnya akan lebih bermasalah kerana sokongan akar umbi yang terjejas, selepas percaturan politik Langkah Sheraton yang dianggap mengkhianati PKR dan Pakatan Harapan.

Awang Azman juga tidak menolak kementerian yang diterajuinya dan Azmin sendiri jadi sasaran musuh politik bekas timbalan presiden PKR itu.

“Orang lihat Azmin dengan pelbagai tafsiran, banyak musuh politik, kalau orang kurang kontroversi, kurang kritikan dan kontroversinya.

“Personaliti Azmin sebagai ahli politik itu sendiri yang menyebabkan itu berlaku.

“Disebabkan Azmin (ketuai MITI) semua orang cari alasan nak tembak dan balun Azmin.

“Sukar bagi pengundinya untuk lupakan peranannya dalam Langkah Sheraton,” kata Awang Azman. – 10 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen