Buka Parlimen segera, rayu Mat Sabu kepada Agong


Mohamad merayu Yang di-Pertuan Agong menggunakan kuasa baginda untuk membolehkan Parlimen bersidang semula dengan segera. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 9 Jun, 2021.

PARLIMEN mesti bersidang semula dengan segera, rayu Presiden Amanah Mohamad Sabu kepada Yang di-Pertuan Agong, kerana ia tempat yang boleh membantu rakyat menyemak usaha kerajaan membendung dan mengurus hal ehwal berkaitan penularan Covid-19.

Mohamad menyampai rayuan bagi pihak partinya ketika diperkenan mengadap Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, petang tadi.

“Saya telah meminta agar Parlimen dapat dibuka semula dan boleh bersidang seperti di United Kingdom (UK). Di sana, ketika pandemik Covid-19 sedang teruk, lebih kerap Parlimen bersidang kerana rakyat nak tahu apa kemajuan kerajaan.

“Bukan macam kita (Malaysia), kes Covid-19 teruk, tapi Parlimen tutup,” katanya kepada wartawan di perkarangan Istana Negara.

Jelas beliau, tiada perbincangan mengenai isu kedudukan kerajaan Muhyiddin Yassin yang dikatakan sudah hilang majoriti di Dewan Rakyat.

Mohamad yang tiba di Istana Negara lebih kurang pukul 3 petang keluar dari kompleks bangunan itu kira-kira pukul 4 petang.

Ahli Parlimen Kota Raja itu adalah ketua parti yang terakhir mengadap Yang di-Pertuan Agong hari  ini.

Majlis mengadap ketua-ketua parti politik ini berlangsung ketika pihak pengurusan Parlimen sedang berbincang mengenai kaedah untuk memungkinkan Dewan Rakyat dan Dewan Negara bersidang secara hibrid iaitu gabungan antara kehadiran fizikal dan secara maya.

Mohamad masuk mengadap selepas majlis untuk Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng. Lim yang juga bekas menteri kewangan memberitahu wartawan beliau antara lain membangkitkan soal ekonomi negara dan rakyat yang terjejas akibat pandemik.

Menurut Mohamad, beliau juga menyuarakan kepada Yang di-Pertuan Agong nasib rakyat di tengah penularan Covid-19.

“Saya beritahu yang rakyat sekarang sudah sampai ke peringkat mengambil makanan di pusat khidmat wakil rakyat kerana mereka tidak ada pendapatan.

“Pemandu Grab juga tidak ada penumpang, bagaimana mereka mahu makan. Masalah rakyat adalah serius, bukan main-main,” katanya.

Al-Sultan Abdullah juga pada sebelah pagi mengadakan mesyuarat mingguan dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan selepas itu menerima mengadap Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dijadual mengadap esok, selain dijangka Presiden Parti Warisan Sabah Mohd Shafie Apdal.

Sementara itu, Pejabat Ketua Menteri Sarawak turut mengesahkan semua empat ketua parti dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan mengadap Al-Sultan Abdullah menerusi persidangan video pada Isnin, 14 Jun ini.

Al-Sultan Abdullah hari ini mula menerima mengadap ketua-ketua parti politik untuk mendapatkan pandangan mereka dipercayai sebagai langkah persiapan untuk Persidangan Khas Raja-Raja Melayu yang baginda anjurkan minggu depan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Ahmad Fadil Shamsuddin berkata persidangan khas atas inisiatif Al-Sultan Abdullah dan akan diadakan di Istana Negara pada Rabu, 16 Jun ini.

“Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu ini berkaitan dengan usaha-usaha memerangi penularan jangkitan wabak Covid-19 dan pelaksanaannya semasa tempoh darurat,” katanya dalam satu kenyataan petang ini.

Yang di-Pertuan Agong perkenan mengisytiharkan darurat berkuat kuasa dari 11 Januari hingga 1 Ogos bagi membendung penularan Covid-19. |

Susulan perisytiharan itu, baginda kemudian memasyhurkan Ordinan Darurat yang antara lain menggantung beberapa peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan Parlimen dan dewan undangan negeri tidak bersidang, sementara pilihan raya juga tidak diadakan sehingga darurat berakhir. – 9 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen