Guan Eng bincang isu ekonomi, Covid-19 dengan Agong


Aminah Farid

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng melambai sebelum meninggalkan Istana Negara petang ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 9 Jun, 2021.

LIM Guan Eng berkata beliau mengutarakan kesan ekonomi dan cara menangani pandemik Covid-19 dalam pertemuannya dengan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini.

Setiausaha Agung DAP itu berkata beliau memberi pandangan kepada Yang di-Pertuan Agong tentang penderitaan rakyat menghadapi pandemik, selain jenis-jenis bantuan diperlukan untuk rakyat.

“Pada masa sama, kita harap kita boleh cepatkan vaksinasi,” kata Lim kepada wartawan di pintu masuk Istana Negara.

Lim berkata beliau meluangkan lebih kurang sejam dengan Yang di-Pertuan Agong petang ini.

Beliau turut menjunjung kasih ke atas Yang di-Pertuan Agong yang sudi menerimanya menghadap, berharap Yang di-Pertuan Agong akan menangani masalah utama negara ini segera. 

Lim yang tiba dekat pukul 2 petang dilihat keluar dari Istana Negara pada 3.20 petang, sementara Mohamad yang tiba lebih kurang pukul 3 petang keluar pada 4 petang.

Awal pagi, Presiden PKR Anwar Ibrahim yang juga pengerusi Pakatan Harapan masuk ke Istana Negara lebih kurang pukul 10.37 pagi sebelum keluar kira-kira pukul 12.10 tengah hari.

Seperti Lim, Anwar turut membangkitkan beberapa isu kepada Yang di-Pertuan Agong termasuk keadaan semasa negara, keyakinan rakyat dan juga pelabur.

Anwar memberitahu wartawan isu pembentukan kerajaan baharu tidak berbangkit semasa majlis mengadap itu.

Difahamkan Yang di-Pertuan Agong turut akan menerima menghadap pemimpin parti politik lain esok, juga dijangka berbincang mengenai keadaan negara.

Awal pagi hari ini, sekitar pukul 8 pagi, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengadap Al-Sultan Abdullah untuk mesyuarat mingguan sebelum beliau mempengerusikan mesyuarat Jemaah Menteri. – 9 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen