Isu kerajaan baharu tidak berbangkit, kata Anwar selepas mengadap Agong


Presiden PKR Anwar Ibrahim mengadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pagi tadi, berkata tidak bangkit isu ganti kerajaan Muhyiddin Yassin. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 9 Jun, 2021.

ISU pembentukan kerajaan baharu untuk menggantikan pentadbiran Muhyiddin Yassin tidak berbangkit dalam majlis mengadap Yang di-Pertuan Agong hari ini, kata ketua pembangkang Anwar Ibrahim.

Presiden PKR berkata beliau membangkitkan beberapa perkara mengenai penularan Covid-19 dan pengurusan pandemik, termasuk saringan jangkitan yang rendah serta vaksinasi yang perlu ditingkatkan, tetapi tidak berbangkit soal kerajaan baharu.

“Itu (kerajaan baharu) soal yang tidak berbangkit sekarang,” kata Anwar kepada wartawan di perkarangan Istana Negara di Kuala Lumpur, sebaik selesai majlis mengadap Yang di-Pertuan Agong.

Anwar bagaimanapun berkata beliau juga membangkitkan kepada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah soal darurat, yang sedang berjalan sejak 11 Januari sehingga 1 Ogos ini.

“Kita merayu kepada Tuanku supaya menghalang (darurat diteruskan) tetapi Tuanku juga mengatakan (baginda) patuh pada semangat raja berperlembagaan,” katanya.

Anwar menambah beliau juga membangkitkan semula pandangan yang dizahirkan oleh Al-Sultan Abdullah sebelum ini bahawa Parlimen boleh bersidang di tengah perintah darurat.

Anwar tiba di Istana Negara kira-kira 10.37 pagi dan keluar lebih kurang 12.10 tengah hari.

Terharu

Menurut Anwar, beliau terharu mendengarkan pandangan-pandangan Al-Sultan Abdullah yang disifatkannya “arif tentang perkembangan semasa” termasuk menyentuh pelbagai pandangan pakar.

Beliau dimaklumkan Yang di-Pertuan Agong sebelum ini turut mendapatkan pandangan semasa mengenai Covid-19 daripada beberapa pakar kesihatan, antaranya Dr Adeeba Kamarulzaman yang baru-baru ini dilantik menganggotai Majlis Sains Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Saya rasa hal ini harus diketahui oleh masyarakat.”

Anwar menambah beliau dan Al-Sultan Abdullah turut berbincang mengenai “kedudukan dalam negara, keyakinan rakyat serta pelabur di dalam dan luar negara”.

“Kita minta supaya ada satu perubahan yang baik dan ini perbincangan kita mulakan.

“Saya junjung kasih kerana kesediaan Tuanku mendengar dengan teliti dan memberi nasihat dan titah sewajarnya,” katanya.

Anwar berkata Al-Sultan Abdullah berlapang dada mendengar pandangannya serta menerima laporan dan kajian bertulis yang beliau sampaikan.

Majlis mengadap ini berlangsung ketika Yang di-Pertuan Agong dilaporkan memberi perkenan kepada ketua-ketua parti politik untuk mengadap baginda dipercayai berhubung keadaan semasa negara di tengah penularan Covid-19.

Anwar mengadap Yang di-Pertuan Agong kira-kira sejam setengah selepas Muhyiddin selesai mengadakan mesyuarat mingguan sebelum mempengerusikan mesyuarat Jemaah Menteri.

Sesi pertemuan Muhyiddin dan Al-Sultan Abdullah berlangsung selama satu jam bermula 8 pagi, kata Istana Negara.

Foto mesyuarat itu dimuat naik ke akaun Instagram rasmi Istana Negara.

 

Dua lagi ketua parti iaitu Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng juga dilapor akan diterima mengadap Yang di-Pertuan Agong pada petang ini.

Setiausaha organisasi parti Anthony Loke malam tadi mengesahkan Lim telah diperkenan untuk mengadap Al-Sultan Abdullah selaku ketua parti DAP.

Surat jemputan untuk mengadap juga sudah dihantar oleh Istana Negara kepada presiden penaja Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang, kata pemimpin parti.

Bekas perdana menteri dijadual mengadap esok, kata ketua penerangan penaja Pejuang Ulya Aqamah Husamudin.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan pula enggan mendedahkan tarikh majlis mengadap untuk pemimpin partinya.

Majlis mengadap ketua-ketua parti politik ini berlangsung ketika pihak pengurusan Parlimen sedang berbincang mengenai kaedah untuk memungkinkan Dewan Rakyat dan Dewan Negara bersidang secara hibrid iaitu gabungan antara kehadiran fizikal dan secara maya. – 9 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen