Raja-Raja Melayu bincang Covid-19, darurat minggu depan, kata Istana Negara


Datuk Pengelola Bijaya Diraja Ahmad Fadil Shamsuddin berkata persidangan khas atas inisiatif Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu akan diadakan di Istana Negara pada hari Rabu, 16 Jun 2021. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 9 Jun, 2021.

RAJA-RAJA Melayu akan mengadakan satu persidangan khas minggu depan untuk membincangkan usaha-usaha yang diambil oleh kerajaan dalam memerangi penularan Covid-19 dan pelaksanaannya sepanjang tempoh darurat sejak lima bulan lalu, kata Istana Negara.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Ahmad Fadil Shamsuddin berkata persidangan khas atas inisiatif Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu akan diadakan di Istana Negara pada hari Rabu, 16 Jun 2021.

“Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu ini berkaitan dengan usaha-usaha memerangi penularan jangkitan wabak Covid-19 dan pelaksanaannya semasa tempoh darurat,” katanya dalam satu kenyataan petang ini.

Kenyataan itu mengesahkan laporan media Selasa lalu mengenai satu persidangan Raja-Raja Melayu pada minggu depan, yang menyusul perbincangan antara Yang di-Pertuan Agong dengan ketua-ketua parti politik yang bermula hari ini.

Sehingga petang ini, Al-Sultan Abdullah sudah menerima mengadap secara berasingan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan tiga pemimpin parti komponen Pakatan Harapan (PH).

Menurut Ahmad Fadil, perbincangan khas Raja-Raja Melayu ini adalah yang kedua sejak Al-Sultan Abdullah naik takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada Januari 2019.

Katanya, persidangan khas pertama pernah dibuat pada 25 Oktober 2020, iaitu ketika Raja-Raja Melayu membincangkan nasihat Perdana Menteri dan kabinetnya mengenai keperluan satu perisytiharan darurat dibuat.

Cadangan Jemaah Menteri tidak diperkenankan pada masa itu, tetapi kemudian diberi perkenan oleh Al-Sultan Abdullah pada 11 Januari 2021.

Awal hari ini, Muhyiddin mengadap Al-Sultan Abdullah untuk mesyuarat mingguan sebelum beliau mempengerusikan mesyuarat Jemaah Menteri.

Majlis mengadap Muhyiddin berlangsung selama satu jam bermula 8 pagi, kata Istana Negara, yang kemudian memuat naik foto-foto pertemuan ke akaun Instagram rasmi Istana Negara.

Majlis mengadap Muhyiddin berlangsung selama satu jam bermula 8 pagi, kata Istana Negara, yang kemudian memuat naik foto-foto pertemuan ke akaun Instagram rasmi Istana Negara. – Gambar Istana Negara, 9 Jun, 2021.

Selepas itu, Presiden PKR Anwar Ibrahim yang juga pengerusi PH masuk ke Istana Negara lebih kurang pukul 10.37 pagi sebelum keluar kira-kira pukul 12.10 tengah hari.

Beliau memberitahu wartawan isu pembentukan kerajaan baharu tidak berbangkit semasa majlis mengadap itu.

Presiden PKR Anwar Ibrahim memberitahu wartawan isu pembentukan kerajaan baharu tidak berbangkit semasa majlis mengadap itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 9 Jun, 2021.

Beliau sebaliknya membangkitkan beberapa perkara mengenai penularan Covid-19 dan pengurusan pandemik termasuk vaksinasi, serta kesan ekonomi akibat perisytiharan darurat.

Pada sebelah petang, giliran Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu pula mengadap.

Pada sebelah petang, giliran Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu pula mengadap. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 9 Jun, 2021.

Lim yang tiba dekat pukul 2 petang dilihat keluar dari Istana Negara pada 3.20 petang, sementara Mohamad yang tiba lebih kurang pukul 3 petang keluar pada 4 petang. – 9 Jun, 2021.

Mohamad tiba di Istana Negara kira-kira 3 petang, ketika Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng masih berada di dalam kompleks bangunan istana.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 9 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen