Selepas Guan Eng, Mohamad Sabu pula ke Istana Negara


Majlis mengadap ketua parti politik di Istana Negara hari ini berlangsung ketika pengurusan Parlimen sedang berbincang mengenai kaedah Dewan Rakyat dan Dewan Negara bersidang secara hybrid. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 9 Jun, 2021.

PRESIDEN Amanah Mohamad Sabu menyusul masuk ke Istana Negara selepas dua lagi pemimpin komponen Pakatan Harapan mengadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini.

Mohamad tiba di Istana Negara kira-kira 3 petang, ketika Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng masih berada di dalam kompleks bangunan istana.

Lim kemudian keluar pada 3.20 petang selepas dilihat masuk ke kawasan Istana Negara sebelum 2 petang.

Majlis mengadap pada sebelah petang ini menyusul majlis sama melibatkan Presiden PKR Anwar Ibrahim yang juga pengerusi PH pada sebelah pagi.

Pihak Istana Negara sehingga ini belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung perkembangan hari ini.

Anwar yang keluar dari Istana Negara lebih kurang 12.10 tengah hari  memberitahu wartawan isu pembentukan kerajaan baharu tidak berbangkit semasa beliau mengadap Yang di-Pertuan Agong.

Beliau sebaliknya membangkitkan kewajaran perintah darurat yang dijadual berakhir pada 1 Ogos tidak diteruskan serta beberapa isu berkaitan pengurusan pandemik Covid-19.

Sesi majlis mengadap Anwar berlangsung selepas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengadap Al-Sultan Abdullah untuk mesyuarat mingguan sebelum mempengerusikan mesyuarat Jemaah Menteri.

Majlis mengadap Muhyiddin berlangsung selama satu jam bermula 8 pagi, kata Istana Negara, yang kemudian memuat naik foto pertemuan ke akaun Instagram rasmi Istana Negara.

Surat jemputan untuk mengadap juga sudah dihantar oleh Istana Negara kepada presiden penaja Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang, kata pemimpin parti.

Bekas perdana menteri dijadual mengadap esok, kata ketua penerangan penaja Pejuang Ulya Aqamah Husamudin.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan bagaimanapun enggan mendedahkan tarikh majlis mengadap untuk pemimpin partinya.

Hari ini, Pejabat Ketua Menteri Sarawak turut mengesahkan semua empat ketua parti dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan mengadap Al-Sultan Abdullah menerusi persidangan video pada Isnin, 14 Jun ini.

Majlis mengadap ketua parti politik berlangsung ketika pihak pengurusan Parlimen sedang berbincang mengenai kaedah untuk memungkinkan Dewan Rakyat dan Dewan Negara bersidang secara hibrid iaitu gabungan antara kehadiran fizikal dan secara maya. – 9 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen