Sukar, menakutkan tapi perlu, penggali kubur kongsi pengalaman norma baru


Elill Easwaran

Staf MBPJ Shahrum Baharudin (tengah) dan Mohd Saiful Khir (kiri) mengendalikan proses pengebumian jenazah mangsa Covid-19 di tanah perkuburan Kota Damansara. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 6 Jun, 2021.

TEMPOH beberapa minggu lepas merupakan waktu sibuk buat Shahrum Baharudin yang bekerja sebagai penggali kubur di tanah perkuburan Islam di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

Banyak kubur yang digali di kawasan itu dengan hampir setiap satu daripadanya merupakan korban Covid-19.

Setakat ini, sebanyak 87 pengebumian melibatkan mangsa virus itu.

Jumlah pengebumian meningkat mendadak ketika pandemik itu tidak menunjukkan sebarang tanda akan reda dengan jumlah kematian yang semakin bertambah.

“Semasa gelombang pertama Covid-19 pada tahun lalu, kami menguburkan empat jenazah mangsa Covid-19 sebulan. Kini hampir empat korban dikuburkan setiap minggu,” kata penggali kubur berusia 47 tahun itu.

Paling teruk katanya, dia mengebumikan empat jenazah dalam sehari baru-baru ini.

The Malaysian Insight baru-baru ini menemuramah Shahrum tentang bagaimana Covid-19 mengubah hidupnya sebagai penggali kubur.

Batu nisan tertera kod khas digunakan bagi kubur korban Covid-19. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 6 Jun, 2021.

“Pada awalnya, saya berasa sangat sedih dan takut untuk mengendalikan jenazah mangsa Covid-19.

“Saya berasa sangat bimbang sehingga satu tahap, saya mandi menggunakan cecair peluntur apabila pulang ke rumah,” kata penggali yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang itu.

Bagaimanapun katanya, dia menyesuaikan diri dengan prosedur operasi standard (SOP) yang dikenakan dan pasrah dengna jumlah pengebumian yang perlu dihadapinya setiap hari.

“Ia sangat teruk. Kami mengebumikan empat jenazah sehari baru-baru ini,” katanya.

Jelasnya proses pengebumian bermula dengan panggilan daripada hospital, kemudiannya dia atau penggali kubur lain akan mula mengorek tanah untuk jenazah mangsa Covid-19.

Shahrum berkata bagi setiap pengebumian mangsa Covid-19, pegawai dari Kementerian Kesihatan (KKM) akan hadir untuk memberi taklimat tentang protokol dan cara pemakaian peralatan perlindungan diri (PPE) dengan sempurna.

“Semasa proses pengebumian, tiga staf KKM akan hadir di tanah perkuburan bagi membantu kami dan ahli keluarga termasuk memakaikan mereka dengan PPE,” katanya.

Sebahagian kubur korban Covid-19 di tanah perkuburan Kota Damansara. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 6 Jun, 2021.

Dia berkata pemakaian PPE amat menyeksakan terutamanya ketika bekerja waktu panas.

Katanya staf mereka akan melakukan sanitasi terhadap van jenazah, jenazah serta kubur sebelum dan selepas setiap pengebumian.

“Sebaik saja jenazah dikebumikan, proses sanitasi akan dilakukan sekali lagi.

“Penggali kubur juga akan menjalani proses yang sama untuk memastikan kami tidak dijangkiti atau membawa virus itu,” katanya.  – 6 Jun, 2021.

Berita penuh di sini.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen