Restoran ikonik KL, Coliseum Café kini ditutup


Noel Achariam

Coliseum Café di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur akhirnya ditutup secara kekal selepas tidak mampu bertahan dalam keadaan pandemik Covid-19. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 6 Jun, 2021.

KEADAAN restoran berasap dengan dekorasi perabot antik dan pelayan berumur separuh abad menghidangkan stik kini hanya tinggal memori susulan Coliseum Café yang bersejarah di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur akhirnya ditutup.

Restoran ikonik itu yang popular dengan masakan gaya barat Hainan dan nostalgia era kolonial sejak 1921, kali terakhir dibuka pada Mac tahun lalu, dan tidak sempat meraikan ulang tahunnya ke-100 yang dirancang diadakan tahun ini.

Banyak restoran di ibu kota mengalami nasib serupa dan terpaksa ditutup akibat pandemik Covid-19, tetapi penutupan Coliseum Café diterima dengan sedih kerana ia selama ini menjadi sebahagian daripada jiwa Kuala Lumpur.

Pengurus pemasaran fraicais restoran itu, Azrain Azman berkata keputusan untuk menutup operasi restoran berkenaan dibuat susulan kontrak sewaan di bangunan sebelum zaman perang di sebelah Pawagam Coliseum itu sudah tamat.

Setahun lalu sudah cukup sukar buat restoran itu untuk kekal bertahan dalam keadaan pandemik.

“Ya, ia ditutup. Kami sedih kerana tidak dapat meraikan ulang tahun ke-100,” kata Azrain kepada The Malaysian Insight.

Restoran itu berdepan kesukaran sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada Mac tahun lalu, apabila jumlah pelanggan merosot teruk.

“Kami tidak dapat bertahan sejak PKP pertama. Kami bergantung kepada pelanggan yang menjamu selera di kafe dan pelanggan tetap tidak dapat datang kerana ibu kota dikenakan perintah berkurung,” kata Azrain.

“Kawasan ini zon merah Covid-19 dan kebanyakan pelanggan bekerja dari rumah. Kami tidak membuat perkhidmatan penghantaran kerana kami adalah restoran berkonsepkan makan di sini.

“Jadi kami terpaksa tutup apabila kontrak sewaan tamat.”

Julai lalu, kafe itu masih berharap untuk dibuka semula bagi meraikan ulang tahun ke-100 tahun ini.

Tetapi sepanjang 2020, industri makanan dan minuman hanya menikmati tempoh beberapa bulan untuk beroperasi secara makan di premis.

Bagi kebanyakan masa sepanjang tempoh pandemik, makan di premis tidak dibenarkan dan hanya boleh beroperasi untuk perkhidmatan makanan bungkus bawa pulang atau penghantaran.

Terletak kurang 1km dari Dataran Merdeka, restoran yang beroperasi sejak zaman penjajahan British itu menghidangkan stik berdesir yang popular, dihidangkan kepada golongan diraja hinggalah kepada masyarakat biasa. – 6 Jun, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen