Laporan polis terhadap pengguna Twitter dibuat badan bertindak imunisasi, kata peguam 


Alfian Z.M. Tahir

Pengguna Twitter berkenaan didakwa menyebarkan berita palsu kerana mempersoalkan peruntukan RM70 juta untuk bangunkan laman web JKJAV enam hari lalu.– Gambar EPA, 5 Jun, 2021.

LAPORAN polis yang dibuat terhadap seorang pengguna Twitter kerana mempersoalkan RM70 juta yang diperuntukkan kerajaan bagi membangunkan laman web pendaftaran vaksinasi Covid-19 dibuat oleh Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF).

Peguam Rajsurian Pillai, yang mewakili pengguna terbabit memberitahu pemberita badan kerajaan berkenaan yang membuat laporan terhadap pekerja IT berusia 36 tahun itu yang menggunakan akaun Twitter atas nama @ChairmanGLC.

CITF yang merupakan agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, bertanggungjawab menyelaras strategi untuk pelaksanaan program imunisasi Covid-19 kebangsaan.

Polis turut merampas telefon bimbit, modem dan router internet milikindividu berkenaan ketika menahannya malam tadi. 

“Polis menyerbu rumahnya dan merampas telefon bimbit, router dan modem. Beliau ditahan di balai polis Kota Damansara. 

“Beliau merupakan bapa kepada empat anak. Polis terbabit adalah dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan Dan Undang-Undang (D5) Bukit Aman,” kata Rajsurian. 

Tambahnya polis telah mendapat perintah reman sehari dan beliau akan dibebaskan kira-kira pukul 6 petang hari ini. 

“Polis memohon perintah reman selama empat hari namun Majistret S Mageswary hanya benarkan sehari kerana anak guam saya memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis. Tambahan pula, beliau tidak berisiko untuk melarikan diri dan tidak akan mengganggu siasatan,” kata Rajsurian. 

Lelaki berkenaan didakwa menyebabkan kekeliruan dengan ciapan yang mempersoalkan peruntukan RM70 juta bagi membangunkan laman web Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV) enam hari lalu.

Kerajaan menerima pelbagai kritikan berhubung kesukaran yang dihadapi masyarakat untuk menggunakan laman web berkenaan bagi pendaftaran vaksin Covid-19 AstraZeneca, sebelum ia dimasukkan ke program imunisasi kebangsaan.

Ramai yang mempersoalkan kualiti laman web yang sepatutnya diperoleh dengan harga RM70 juta. 

Bagaimanapun Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin yang juga menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) berkata peruntukan sebanyak RM70 tersebut bukan semata-mata untuk membangunkan laman web JKJAV tetapi juga meliputi pengurusan PICK.

Peruntukan itu juga katanya, bukanlah jumlah sebenar, sebaiknya paras siling yang ditetapkan kerajaan bagi menjayakan program vaksinasi negara.

Penahanan individu berkenaan malam tadi didedahkan oleh peguam Syahredzan Johan awal hari ini menerusi Twitter.– 5 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen