Lebih 128,000 syarikat dapat operasi, kata Azmin


Seorang pengawal keselamatan sedang bertugas di sebuah pasar raya di Kuala Lumput. Setakat ini sebanyak 586,308 syarikat telah memohon kelulusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri. Jika diluluskan, ia membolehkan keseluruhan 10.2 juta tenaga kerja bertugas sewaktu PKP penuh. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 3 Jun, 2021.

LEBIH 128,000 syarikat dengan kekuatan 1.57 juta kakitangan dibenar beroperasi setakat ini untuk tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh, kata Menteri Kanan Ekonomi Azmin Ali.

Menurutnya, jumlah kelulusan itu daripada keseluruhan 586,308 syarikat berdaftar dalam sistem Covid-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0 seliaan kementeriannya.

“Daripada jumlah ini surat kebenaran beroperasi yang telah dicetak melalui CIMS hanya 128,150 yang melibatkan1.57 juta pekerja di seluruh Malaysia,” katanya.

Sekiranya diluluskan, ia membolehkan keseluruhan 10.2 juta tenaga kerja bertugas sewaktu PKP penuh.

Kenyataan itu disiarkan selepas timbul dakwaan bahawa kementerian itu mengeluarkan banyak kebenaran untuk syarikat beroperasi walau PKP penuh dikuatkuasa.

Hinggakan, kawalan tersebut dilihat tidak sempurna kerana ramai didapati keluar rumah untuk bekerja, seperti dibangkitkan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Menteri Kanan Keselamatan Sabri Yaakob juga membayangkan pelaksanaan Perintah PKP penuh itu dirosakkan oleh pihak tertentu.

Dalam kenyataan yang mengundang pelbagai teka-teki di Facebook, beliau menyatakan rasa kesal dengan perkembangan yang berlaku walaupun sudah “menutup pintu depan”.

Kawalan PKP penuh kali ini melarang semua aktiviti sosial dan hanya beberapa aktiviti ekonomi penting dibenarkan beroperasi.

Ia termasuk restoran, gerai makanan, khidmat dobi, jagaan haiwan kesihatan, kedai cermin mata, dan kedai pertukangan.

Selain itu, bengkel kenderaan dan kedai alat ganti, jualan dalam talian serta jualan runcit dan borong bagi barangan keperluan juga dibenarkan beroperasi.

Untuk tempoh ini, 80% kakitangan kerajaan dan 40% kakitangan swasta diarah bekerja dari rumah. – 3 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen